𝗗𝗢𝗔 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗧𝗔𝗡 𝗦𝗥𝗜 𝗛𝗔𝗡𝗔𝗙𝗜𝗔𝗛 𝗛𝗨𝗦𝗦𝗔𝗜𝗡


Rafizi Ramli








Saya dimaklumkan oleh ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales) bahawa Tan Sri Hanafiah Hussain tidak berapa sihat. 


Anak kepada Tan Sri Hanafiah ada menyebut yang beliau sebut nama saya. Kali terakhir kami berjumpa, kami tidak sempat berbual panjang.


Tan Sri Hanafiah adalah nama besar tanahair dan sumbangan beliau kepada negara tidak boleh dibandingkan dengan kita yang masih muda ini.


Dilahirkan dalam tahun 1927, beliau adalah anak Melayu pertama yang menjadi akauntan bertauliah (chartered accountant) dengan ICAEW.


Dalam tahun 1962, beliau menubuhkan Hanafiah, Raslan & Mohamad (HRM), iaitu antara firma audit milik Bumiputra yang paling awal di negara ini. HRM kemudiannya menjadi Arthur Andersen (AA) dan seterusnya bergabung menjadi Ernst & Young (EY).


Firma HRM melahirkan banyak pakar ekonomi dan kewangan negara, termasuklah Tan Sri Hassan Marican (bekas Presiden/CEO Petronas dan juga anggota ICAEW di Malaysia).


Selain sumbangan dalam bidang kewangan, Tan Sri Hanafiah juga pernah menjadi ahli politik. 


Beliau adalah bekas bendahari Umno dalam tahun 60an dan ahli parlimen Jerai selama 2 penggal. Di Parlimen, beliau pernah menjadi pengerusi JK Kira-kira Awam (PAC).


Senarai sumbangan Tan Sri sangat panjang untuk disenaraikan.


Mungkin yang paling dekat dengan rakyat ialah peranan beliau sebagai Pengarah Urusan Lembaga Urusan Tabung Haji dalam tahun 60an, sebelum ia dikenali sebagai LTH. 


Beliau juga adalah pengurus besar Felda yang pertama dan memainkan peranan penting dalam menubuhkan rancangan tanah Felda di seluruh negara. Tan Sri Hanafiah juga ada adalah pengasa FAMA.


Beliau adalah wakil kerajaan ke Taiwan dalam tahun 1980an untuk meyakinkan pelabur Taiwan membuka kilang dan pelaburan di Malaysia. Di awal 90an, beliau ada pengerusi eksekutif Bank Bumiputra.


Kali terakhir saya berjumpa Tan Sri ialah semasa sama-sama menghadiri majlis tahunan ICAEW Malaysia tahun lepas. Kedua-dua kami adalah felo ICAEW (dari dua generasi berlainan).


Walaupun sudah berusia, Tan Sri tetap hadir ke majlis tahunan ICAEW sebagai sokongan kepada akauntan muda.


Orang seperti saya mendapat inspirasi untuk menjadi seorang akauntan bertauliah dari ICAEW hasil teladan yang baik dari tokoh seperti Tan Sri Hanafiah dan Tan Sri Hassan.


Sebagai anak kampung, saya tidak pernah mendapat pendedahan mengenai kerjaya sebagai akauntan bertauliah (CA). Di universiti, saya diberitahu ia sesuatu yang sukar - perlu mendapat kerja di firma di UK dan perlu lulus peperiksaan (yang hanya 30% lulus zaman itu).


Sebab itu, saya memberi dorongan kepada Yayasan Peneraju untuk memudahkan anak Bumiputra menceburi bidang ini. 


Insya-Allah, sasarannya untuk melahirkan 20,000 akauntan bertauliah Bumiputra yang baru menjelang 2030.


Insya-Allah, ada dari kalangan anak-anak ini yang akan memberi sumbangan besar seperti Tan Sri Hanafiah.


Saya sedang menyediakan video-video celoteh Tan Sri Hanafiah bercerita bagaimana institusi-institusi seperti Tabung Haji, Felda dan FAMA mula-mula ditubuhkan, supaya menjadi inspirasi dan pedoman kepada generasi muda.


Marilah kita semua mendoakan supaya Tan Sri Hanafiah diberikan kesihatan, umur yang panjang, dipermudahkan urusan dan dirahmati Allah atas semua kebaikan yang beliau sumbangkan kepada negara dan masyarakat.



No comments: