Bersatu telah mengambil tindakan drastik menerusi tindakan saman pemula ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan di lima kerusi parlimen.
Kesemua lima kerusi parlimen tersebut terdiri dari ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka terdiri daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Mereka juga dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.
Ia difailkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif.
Mereka memohon perisytiharan antaranya Johari bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit, melalui surat bertarikh 9 Julai lalu.
Dua plaintif ini turut memohon perisytiharan, bahawa mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah, termasuk tafsiran oleh Johari, atau mana-mana Speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.
“Plaintif juga meminta perisytiharan, defendan pertama mematuhi peruntukan 49A(3) dengan memastikan berlaku kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Dewan Rakyat di lima kerusi dan perlu memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari perintah mahkamah.
“Plaintif memohon perisytiharan, di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, peranan dan tanggungjawab defendan pertama adalah untuk memastikan lima defendan itu tidak lagi menjadi ahli parti Bersatu sekali gus berlaku kekosongan luar jangka,” katanya.