LUPAKAN MAHIADDIN SEBAGAI CALON PM JIKA PN MAHU LIHAT ADA CAHAYA KEMENANGAN


Dengan tak semena-mena, di sebalik kehangatan kempen PRK Kuala Kubu Bharu sedang berjalan dan tarikh PRU16 pula masih jauh lagi, tiba-tiba saja Azmin Ali semalam memberi kenyataan bahawa PN kekal menamakan Mahiaddin Md Yasin sebagai calon Perdana Menteri.


Ketua Penerangan PN itu berkata, gabungan tersebut tetap yakin Ahli Parlimen Pagoh itu adalah pilihan terbaik untuk rakyat.


“Sekarang kita masih mendengar laungan ‘Abah’ sebab watak Tan Sri (Muhyiddin) sebagai ketua dalam satu keluarga, sebuah negara yang menjaga kepimpinan.


“Mereka menyaksikan kepimpinan beliau dan mendapat manfaat daripadanya.


“Saya yakin insya Allah, kita teruskan kerja yang baik, jujur dan ikhlas kepada rakyat serta buat sedaya upaya untuk memberi kemenangan kepada PN kelak,” katanya lagi.


Bagaimanapun kenyataan Azmin itu cepat disanggah oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man hanya beberapa jam kemudian dengan mengatakan PN belum membincangkan lagi perkara tersebut.


Katanya, setiap parti mempunyai calon Perdana Menteri masing-masing, namun PN belum membuat keputusan muktamad lagi.


“Isu (calon PM) ini tidak berbangkit, PRU16 masih lambat lagi,” ujarnya.


Dalam hal ini, izinkan saya memberi pandangan secara probono kepada PN.


Untuk PN barangkali boleh dilihat ada cahaya untuk beroleh kemenangan pada PRU16 akan datang, syarat utamanya ialah mesti mengenepikan Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri.


Mahiaddin adalah Perdana Menteri yang gagal sepanjang 17 bulan mendapat peluang berkhidmat sebagai ketua kerajaan selepas peristiwa Langkah Sheraton.


Semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri, saya telah banyak menulis mengenai kegagalannya, malah turut mendesaknya meletakkan jawatan.


Di media sosial sendiri pada waktu itu bertali arus rungutan serta luahan tidak puas dengan kepimpinanya.


Mahiaddin langsung tidak menampakkan watak sebagai Perdana Menteri ketika berkuasa, yang kerap bercakap hanyalah kenyataan medianya melaui pdf serta kemunculan dalam perutusan khas di kaca tv yang mampu mencipta rekod paling banyak dalam sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga beliau akhirnya digelar Tokoh Perutussn Khas Negara.


Ditambah dengan pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini dan seolah-olah tidak lepas tangan pula dalam kes menantunya melarikan diri ke luar negara, semua ini adalah beban yang menambahkan kagi kemerosotan keyakinan rakyat terhadap PN jika beliau dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.


Harus diingat, Mahiaddin bukan seperti Tun Mahathir Mohamad yang ada rekod gemilang sebagai Perdana Menteri buat kali pertama, lalu apabila dicalonkan buat kali kedua untuk menghadapi PRU14, sokongan rakyat datang menderu-deru ketika itu.


Sebagai Perdana Menteri yang pernah gagal, mustahil rakyat akan teruja untuk mengundi PN pada PRU akan datang jika “sigagal yang sama” dijadikan pertaruhan.


Bahkan, dalam Bersatu sendiri saya yakin ada yang tidak akan mengundi jika Mahiaddin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.


Muhyiddin mesti terbuka memberi laluan kepada pemimpin lain seperti Hamzah Zainuddin daripada Bersatu atau Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Pas sebagai calon baru bagi kerusi Perdana Menteri PN.


Hamzah dirasakan layak kerana beliau sejak kebelakangan ini mula menunjukkan peranannya yang berkesan sebagai Ketua Pembangkang, manakala Pas, jika parti itu kekal memenangi paling banyak kerusi Parlimen sebagaimana diperlehinya pada PRU15 lalu, adalah lebih molek pemimpin parti itu pula dijadikan sandaran menjadi Perdana.


Oleh kerana penimpin Pas belum pernah memegang jawatan Perdana Menteri, rakyat khususnya pengundi Melayu/Islam lebih terghairah untuk memberi sokongan kepada PN.


Selain itu, kalau mahu dikira, Azmin sendiri, andai kata beliau menang sebagai Ahli Parlimen pada PRU16 akan datang dan PN juga mampu beroleh kemenangan, beliau turut ada kelayakan sebagai calon Perdana Menteri.


Pokoknya, dalam PN tidak ketandusan calon untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri, tetapi mencalonkan Mahiaddin untuk menjadikannya Perdana Menteri buat kali kedua adalah kerja paling buang masa yang tidak memungkinkan kemenangan mampu diperolehi. – ShahbudinHusin 11Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/11/lupakan-mahiaddin-sebagai-calon-pm-jika-pn-nak-lihat-ada-cahaya-kemenangan.html