Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif
Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini.
Sungguh tragis bahawa AS dan negara-negara Eropah yang menyokong
demokrasi nampaknya tidak memahami perkara ini: tindakan balas yang tidak
seimbang oleh Israel merupakan hukuman kolektif terhadap penduduk awam Gaza.
Dengan berlepas tangan negara-negara ini dengan tidak melakukan sebarang
tindakan, mereka membenarkan apa yang berlaku di Gaza dan tindakan Perdana
Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu.
Israel telah bersikap angkuh dalam tindak balasnya terhadap PBB.
Beberapa kakitangan PBB sendiri telah meninggal dunia dalam serangan terbaru ke
atas Gaza. Gesaan Israel agar setiausaha agung PBB meletakkan jawatan
menampakkan penghinaannya terhadap PBB.
Namun, dengan perlindungan dari AS dan Eropah, Israel terus mempertahankan
yang tidak dapat dipertahankan.
Sementara itu, Netanyahu terus mara ke hadapan, mencabar
kedua-dua kuasa AS dan Eropah.
Tiada sesiapa pun yang berani mengambil pendirian untuk
menyukarkan Israel meneruskan tindakannya ini. Sebaliknya, kedua-dua kuasa
hanya beralah dan memberi ruang dan waktu agar tentera Israel dapat mencapai
objektifnya.
Netanyahu yang ‘lapar darah’ ini langsung tidak berminat untuk
mencapai keamanan. Beliau mahukan konflik dengan Gaza, dan tumpuannya kepada
Hamas dilihat sebagai cara untuk mengekalkan dirinya berkuasa. Para Zionis ini
perlu berundur untuk kita mempunyai peluang untuk keamanan wujud.
Sayeeda Warsi, ahli Dewan Pertuanan UK, menyatakan mengenai
sokongan Netanyahu terhadap Hamas dari awal. “Sesiapa yang ingin menggagalkan
penubuhan negara Palestin perlu menyokong penubuhan Hamas dan memindahkan wang
kepada mereka. Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengasingkan
rakyat Palestin dari Gaza daripada mereka di Tebing Barat,” kata Netanyahu.
Dasar pecah dan perintah yang dijalankan beliau menunjukkan
ketidakikhlasan beliau dalam mencari keamanan. Berikutan pembunuhan bekas
Perdana Menteri Yitzhak Rabin pada perhimpunan damai di Tel Aviv pada tahun
1995, perjanjian Oslo kemudiannya berakhir. Kemudian, John Kerry, setiausaha
negara AS pada 2013-17, juga melihat usahanya gagal.
Selagi Hamas kekal, Netanyahu boleh berhujah bahawa beliau tidak
mempunyai rakan kongsi untuk keamanan di Gaza dan ini sekali gus mewajarkan
perangnya.
Malah Netanyahu akan menandatangani perjanjian dengan syaitan
untuk memastikan masa depan politiknya, kerana kerajaan gabungannya sekarang
ada seorang yang mengaku dirinya seorang fasis serta seorang lagi disabitkan
hukuman bersalah kerana menyokong organisasi “pengganas”. Uar-uar untuk
menggunakan bom nuklear di Gaza baru-baru ini juga menyebabkan salah seorang
menterinya dipecat.