Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif
Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini.
Kemudian terdapat pula pertuduhan rasuah yang masih perlu
dihadapi oleh Netanyahu serta perubahan undang-undang yang kejam – yang telah
ditentang oleh rakyat Israel – melibatkan pengekangan bidang kuasa kehakiman.
Hanya seorang ideolog yang komited kepada ideologi Zionisme boleh merasionalkan
tindakan yang dahsyat serta kehilangan nyawa yang besar di kawasan Gaza
sekarang. Tampaknya, Netanyahu langsung tidak mempunyai hati nurani.
Pun begitu, AS dan mereka yang di Barat langsung tidak mempunyai
keberanian moral untuk menentang kezaliman zaman moden ini. Tidak mungkin
kerajaan AS dan Eropah dapat membersihkan darah yang kini juga mengalir di
tangan mereka. Prasangka serta rasa bersalah mereka ini sendirilah yang telah
membutakan mereka daripada mengambil pendirian yang jelas. Beralah kepada
kerajaan Israel ini mesti dihentikan.
Adalah wajar bagi semua negara untuk memfailkan tindakan di
Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Sudah tiba
masanya untuk institusi antarabangsa ini menyatakan sikap mereka tentang
kebebasan dan keadilan. Mereka perlu mempertanggungjawabkan Netanyahu atas
segala jenayah perang yang dilakukannya. Jika ia gagal, ia seakan-akan
mendorong yang lain pula untuk melakukan jenayah serupa.
Rakan saya Peter Shambrook, dalam buku terbarunya Policy of
Deceit – Britain and Palestine 1914-1939, menganalisa sumber utama melibatkan
urusan UK dengan pemimpin Arab, terutamanya dalam proses surat-menyurat
1915-17, yang menunjukkan bagaimana Britain bermuka-muka. Ini menyerlahkan
keterlibatan UK dalam menyumbang kepada isu Israel-Palestin hari ini.
Masalah utamanya wujud di dalam Deklarasi Balfour 1917, di mana
Britain membuat janji kepada pertubuhan Zionis yang tidak sesuai dengan janji
yang mereka buat kepada pemimpin Arab ketika itu.
Surat itu, yang ditulis oleh Arthur Balfour, berjanji untuk
memudahkan penubuhan rumah kebangsaan Yahudi di Palestin selagi “ia tidak
melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan hak sivil dan agama masyarakat bukan
Yahudi sedia ada di Palestin”.
Kegagalan Britain mengenai peruntukan terakhir ini adalah jelas
sehingga hari ini.
Negara-negara Eropah dan AS perlu mengambil pendirian yang tegas
terhadap Netanyahu, di mana jika ia gagal, peristiwa baru-baru ini boleh
berkembang menjadi krisis yang lebih serius dengan menarik pemain-pemain lain
seperti Lubnan, Syria, Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Iran. Ini akan menyebabkan
keruntuhan dasar AS di Timur Tengah.
READ MORE: Israel-Gaza 'war': Ceasefire failure
and hospital strike aftermath
Sudah tiba masanya negara-negara ini memahami kehendak
masyarakat global serta jurang yang wujud di antara kepentingan nasional mereka
dengan rasa jijik rakyat mereka sendiri terhadap dasar dan realiti yang
dihadapi mereka.
Zionisme semuanya adalah soal menubuhkan negara
etno-nasionalistik. Ia secara eksklusifnya mengenai orang Yahudi dan malangnya,
ia lebih menonjol daripada agama Yahudi itu sendiri. Apabila ideologi mengatasi
kepercayaan yang ada pada sesuatu kaum, maka ia menimbulkan cabaran yang
serius.
Ia semua berkisar tentang segelintir “orang yang terpilih”, hak
mereka ke atas tanah asal mereka, dan ini menimbulkan pandangan serong tentang
kemanusiaan. Kaum lain dipinggirkan menjadi bukan manusia, dan ini, dalam
fikiran mereka, mengabsahkan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan
terhadap orang lain.
Kita menyaksikan bagaimana hal ini dimainkan di banyak tempat.
Itulah sebabnya mengapa segala ideologi yang hanya berpusatkan etno – sama ada
Zionisme atau “Hindutva” di India atau “ketuanan Melayu” – adalah idea yang
secara asasnya hanya memecahbelahkan manusia.
Idea yang sedemikian hanya mewujudkan aparteid secara mental
atau pengasingan dan perpecahan yang kemudiannya wujud menerusi dasar yang
merendahkan pihak lain – dasar yang bersifat unilateral dan meminggirkan
kepentingan serta hak pihak yang lain. Ketakutan terhadap yang lain itulah
kemudian yang menjadi daya penggerak.
Idea populis itulah yang menghakis fabrik demokrasi hari ini.
Kita perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang membina dan
menyatukan orang ramai, memenuhi keperluan mereka dan meningkatkan rasa hormat
antara satu sama lain di luar garisan dan sempadan kaum, agama, kelas atau
warna kulit.
Dalam dunia yang saling berkait dan saling bergantung hari ini,
kita menyeru agar masyarakat saling menghormati kemanusiaan dalam usaha
mewujudkan masyarakat yang berperikemanusiaan. Ini hanya mungkin apabila iman
mentakrifkan cinta dan yang lain menjadi penting.
Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di
dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang
kita saksikan hari ini. Dapatkah pelajaran sejarah hari ini menyumbang kepada
masa depan yang lebih baik?
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
13 November 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman