Kerajaan Perpaduan mengambil maklum rungutan pesawah berhubung isu pemotongan pemutuan beras (padi) basah.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar berkata, pegawai Jabatan Pertanian akan dilatih menangani isu itu dan akan ditempatkan khusus di kilang padi.
"Ada komplen (aduan) mengenai kawalan pemotongan permutuan sebab kadangkala betul, tetapi kadangkala harga yang patut dipotong lima peratus, tiba-tiba jadi 10 peratus.
"Saya sudah bincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mana nanti kita akan melatih Pegawai Pertanian khusus yang akan ada di kilang-kilang swasta bagi memantau secara bebas.
"Ia supaya pengilang swasta tak potong beras basah ikut selera mereka, sebaliknya kena ada syarat tertentu. Berdasarkan perundangan, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) terpaksa beli beras basah (selaku pembeli akhir) kalau orang tak mahu beli dari pesawah, jadi Bernas kena membelinya," katanya dipetik dalam ucapan di Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Lermai, Parit Buntar, Perak semalam.
Pentadbiran Anwar kini dilihat sedang berusaha memperkasa industri padi negara sebagai langkah memastikan bekalan beras di negara ini mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, kerajaan berusaha memastikan projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS dapat dilaksanakan secara berskala besar.
Susulan itu kerajaan bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun.
Semalam Anwar mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuatkuasa hari ini.
Kenaikan pertama sejak 25 tahun lalu itu selain meringankan beban pesawah turut bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.