Kenyataan pemimpin pembangkang PN dan bekas Perdana Menteri (PM) ke 8, Mahiaddin Yassin bahawa hutang peneroka Felda telah dilupuskira sejak 2021 adalah tidak tepat.
Hal itu didedahkan oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar, kanan) dalam program bertajuk: "PM 8 Atau PM10 Selesaikan Hutang Peneroka Felda", malam tadi.
Menurut Shabery, Felda sebelum ini telah pun meminjam dalam pasaran kewangan secara menerbitkan sukuk (bon) bernilai hampir RM10 bilion untuk mengambilalih FGV Holding Berhad yang bermasalah.
Oleh itu, katanya, tanpa bayaran hutang bulanan daripada peneroka yang dilupus kira dan tanpa bantuan kerajaan sehingga RM1 bilion setahun, Felda tidak mungkin boleh meneruskan operasinya kerana terpaksa membayar sukuk.
"Sebenarnya PM ke 8 tu cerita tak habis. Betul tahun 2021 dia umum hutang peneroka kepada Felda dilupuskan. Tak payah kutip hutang lama. Felda serap hutang. Tetapi Felda terbeban.
"Perkara yang besar lagi berlaku sebelum itu, Felda ambil alih FGV dengan membeli saham dalam pasaran. Untuk ambil alih dia memerlukan dana RM9.9 bilion.
"Macam mana nak dapat dana, terbitkan sukuk. Iaitu dari KWSP dan Maybank pada waktu itu. (Masalahnya) macam mana Felda nak bayar sukuk ini selepas dapat saham dan miliki sepenuhnya FGV (tanpa mengutip hutang dari peneroka)?" tanyanya.
Kata beliau, kerajaan PN pada era Muhiaddin Yassin berjanji untuk memberi sumbangan kepada Felda hampir RM1 bilion setahun bagi tujuan membayar sukuk.
Malangnya, menurut Shabery janji itu tidak mempunyai jaminan bertulis daripada kerajaan.
Pada 2022, katanya, Kementerian Kewangan tidak memindah sebarang dana kepada Felda kerana tiada apa apa dokumen perjanjian.
Hanya selepas Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Kewangan menandatangani dokumen perjanjian, katanya, baharulah dana RM1 bilion tersebut diberikan kepada Felda
"Betul pada waktu itu dibuat janji, kerajaan (PN) akan bayar. Tetapi sampai waktunya duit tidak sampai.
"Bila kita periksa sebenarnya tak ada perjanjian hitam putih antara pihak Felda dan kerajaan. Dia sebut sahaja. Jaminan kerajaan mesti ada (secara bertulis) bahawa kerajaan akan bayar. Oleh kerana tak ada perjanjian maka tidak ada pembayaran dibuat.
"Alhamdulillah PM Datuk Seri Anwar sebelum Hari Peneroka lalu dia buat perjanjian (jaminan kerajaan bayar RM1 bilion)
"Sekarang perjanjian dibuat dan membolehkan kerajaan membayar RM1 bilion setahun supaya boleh bayar sukuk," katanya lagi.