Sanusi berisiko hilang kerusi sekalipun menang PRN


 Sekalipun dihadapkan dua pertuduhan bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) di Mahkamah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih boleh menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dipetik berkata, bagaimanapun penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berisiko hilang status sebagai Menteri Besar Kedah dan kerusi DUN yang mungkin dimenangi beliau pada PRN nanti.


"Tiada halangan untuknya bertanding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menolak borang pencalonannya. Jika menang, beliau tetap jadi ADUN. Namun, setahun atau dua tahun kemudian, keadaan mungkin berubah.


"Jika mahkamah mendapati beliau bersalah dan mengenakan hukuman yang membolehkannya hilang kelayakannya (ADUN), maka baru kedudukannya sebagai ADUN gugur. Misalnya, jika didapati bersalah, tetapi hukuman hanya RM1,000, beliau tidak hilang kelayakan," katanya.


Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa berhubung isu mempertikai pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lepas.


Mengikut pertuduhan, Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

No comments: