Dakwa KPN menipu: Pemimpin KEADILAN cabar Sanusi buat laporan polis


 Oleh: Abdullah Zaid


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi dicabar untuk membuat laporan polis berhubung dirinya yang tidak menerima sebarang makluman berkenaan penahanan berkaitan pendakwaan kes menghina Sultan Selangor di Mahkamah Sesyen Selayang, kelmarin.


Mantan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyarankan pemimpin Pas tersebut supaya membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung dakwaan beliau itu.


"Kalau benar dakwa dia (Sanusi) mengatakan Ketua Polis Negara (IGP) menipu. Saya cabar esok pergi buat laporan polis, kata IGP menipu," katanya dalam satu forum Media Perpaduan “Pertarungan Pertahan Maruah”, malam tadi.


Abdullah Sani menganggap tangkapan pada pukul 3 pagi itu wajar kerana Sanusi tidak menjawab panggilan telefon polis untuk proses sebelum pendakwaan.


"Saya mendengar laporan daripada Ketua Polis Negara jelas ditelefon (oleh polis) dia tak angkat telefon. Ini polis nak panggil suruh pergi ke mahkamah. Itu pun dia tak respons. Tetapi ceritanya dizalimi, ditangkap pukul 3 pagi.


"Orang yang mengkritik dia (pada 2022), pukul 3 pagi diangkut 4 orang oleh pihak polis. Ada orang pertikaikan?


"Orang itu tidak pun ditelefon polis. Ini polis telefon tak angkat," katanya.


Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan penahanan ke atas ‘poster boy’ PN Kedah itu dibuat pada jam 3 pagi Selasa lalu selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis mengenai pertuduhan ke atasnya.


Namun, Sanusi menafikan kenyataan pihak berkuasa tersebut.


Dalam pada itu, Abdulllah Sani yang juga Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN bersetuju agar pemimpin pembangkang itu didakwa supaya beliau lebih berwaspada ketika berucap selepas ini.


"Tatkala dia serang Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan memperlekehkan Amir (Menteri Besar Selangor) tidak cukup inci masih belum dikenakan tindakan.


"Oleh sebab itu, sifatnya yang suka memperlekehkan orang akhirnya mengundang padah," ujarnya lagi.


Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa berhubung isu mempertikai pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik di Selayang pada 11 Julai lepas.