SEJAK BILA KJ DIKENALI SEBAGAI AHLI EKONOMI?

 

Petang semalam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan berkaitan hala tuju ekonomi negara dengan sekumpulan manusia yang disebutnya sebagai ahli atau pakar ekonomi.

Antara yang hadir adalah Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

Turut hadir ialah bekas Menteri Kewangan Kedua ketika era Najib Rqzak yang kini merupakan Naib Presiden UMNO, Johari Ghani dan bekas Menteri Kesihatan yang dipecat daripada UMNO, Khairy Jamaluddin.

Menurut catatan Anwar di laman sosialnya, pertemuan tersebut sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

“Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia ke landasan yang betul,” demikian catatan Anwar mengenai perjumpaan yang diadakan di Kementerian Kewangan itu.



Inisiatif Anwar mengadakan perjumpaan dengan ahli serta pakar untuk mendepani keadaan ekonomi negara, terutama di ketika kedudukan bursa saham dan nilai ringgit sedang merudum teruk, harus diakui memang suatu usaha yang baik dan terpuji.

Ini menunjukkan beliau komited untuk memulihkan ekonomi negara dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat, di samping pelbagai kesibukan lainnya seperti bertemu pelajar universiti di seluruh negara dan menyantuni rakyat setiap minggu sambil bersolat Jumaat di pelbagai destinasi.

Tetapi, apabila Khairy Jamaluddin atau KJ turut serta dijemput dalam perjumpaan bersama ahli dan pakar ekonomi itu, ramai yang jadi tertanya-tanya – sejak bila KJ dikenali sebagai ahli atau pakar ekonomi dan tersenarai dalam kelompok tersebut?

Apa tujuan beliau dijemput oleh Anwar?

Kenapa Anwar tidak menjemput misalnya, Mustapha Mohamad, seorang bekas menteri yang diketahui banyak idea serta pengalaman berkaitan ekonomi?

Adakah jemputan kepada KJ ada kaitan dengan ura-ura bekas Ahli Parlimen Rembau itu bakal menyertai PN menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi?

Dalam menyemarakkan kemungkinannya menyertai PN, KJ bukan saja telah bertemu dengan Mahiaddin Md Yasin serta ditawarkan jawatan Ahli MPT Bersatu dan sebagai calon dalam PRN akan datang ini, malah Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan turut berharap bekas Ketua Pemuda UMNO akan memilih PN sebagai wadah perjuangannya sebagai mengikut jejak beberapa bekas pemimpin UMNO yang sudah berbuat demikian.

 

Jika KJ tidak menunjukkan petanda berminat kepada PN selepas dipecat, adakah Anwar masih teringin berjumpa dengannya?

Tidak dinafikan, Bersatu dan PN memang berharap KJ akan bersama mereka dalam menghadapi PRN ini, khususnya dalam cubaan untuk menawan Selangor.

Bagaimanapun, KJ dalam hal ini amat berhati-hati dalam membuat penentuan dan setakat ini tidak memberi apa-apa kata putus tentang hala tuju barunya.

Apakah dengan dijemput mengadakan perjumpaan dengan Anwar petang semalam dan KJ pula sudi menerima jemputan itu, ini menandakan beliau sudah tiada hati lagi terhadap Bersatu dan PN?

Ke mana seterusnya beliau selepas ini?

Apakah KJ akan segera bergerak dalam politik melalui parti baru yang diterajuinya sendiri dan melupakan terus PN?

Adakah dengan kesediaan KJ berjumpa Anwar semalam juga memungkinkan beliau bakal diberikan sesuatu peranan dalam kerajaan perpaduan bagi tujuan “mengikat” menantu Tun Abdullah Badawi itu? – ShahbudinHusin 17/06/2023.



No comments: