MP NI MEMALUKAN

 Pakaian ‘ketat’: Kesatuan jururawat, MMA bidas Ahli Parlimen PAS





MMA: sangat memalukan!


Pakaian ‘ketat’: Kesatuan jururawat, pakar bidang bidas wakil rakyat PN

Ahli Parlimen PAS ditempelak kerana dikatakan lebih kisah tentang etika pakaian jururawat berbanding kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya Nor Hayati Abd Rashid berkata pakaian jururawat rekaan fungsian yang memudahkan mereka menjalankan tugas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kesatuan jururawat dan pakar-pakar bidang kesihatan membidas wakil rakyat Perikatan Nasional berhubung kenyataannya mengenai pakaian jururawat, yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah.

Kesatuan Jururawat Malaya berkata pakaian jururawat rekaan fungsian manakala Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata sangat memalukan apabila Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor, lebih kisah tentang pakaian jururawat ketika orang ramai bimbang tentang kemampanan sistem kesihatan.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Nor Hayati Abd Rashid, berkata rekaan fungsian memudahkan mereka menjalankan tugas dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Peraturan untuk pakaian seragam adalah ia tidak boleh terlalu ketat dan (labuh baju) mestilah melebihi punggung,” katanya kepada FMT.

“Terpulang kepada penyelia jururawat untuk memantau (pakaian seragam). Selalunya, ketua jururawat akan menasihati jururawat jika pakaian seragam mereka terlalu ketat.”

Katanya, pada 1980-an, jururawat memakai skirt tetapi kod pakaian ditukar kepada pemakaian seluar supaya lebih patuh syariah.

“Saya tak pasti apa yang Ahli Parlimen itu fikirkan apabila buat kenyataan sebegitu. (Pakaian seragam) ini bukan baharu, kami sudah pakai lama,” katanya.

Semalam, ketika Dewan Rakyat membahaskan Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi bagi reformasi sistem kesihatan, wakil rakyat PAS itu menarik perhatian Parlimen kepada pakaian jururawat yang menurutnya menampakkan bentuk badan.

Bekas pensyarah kejururawatan di Universiti Malaya, Rasnah Abdul Rahman, berkata tidak ada kajian yang menunjukkan pakaian jururawat membahayakan pesakit.

Beliau juga mengingatkan bahawa kebolehan jururawat menjalankan tugas yang diterapkan melalui pendidikan, latihan, dan pengalaman tidak boleh diremehkan dengan isu seperti ini.

“Jururawat boleh berfungsi dengan berkesan dalam apa jua pakaian, sama ada ketat atau bukan. Tiada kajian mencadangkan pakaian ketat yang dipakai jururawat memberikan kesan negatif kepada pesakit,” katanya.

Beliau menambah dasar mengenai kod pakaian mungkin berbeza, bergantung pada budaya, misi, dan nilai-nilai sesebuah hospital.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pakaian jururawat berfungsi, selesa, dan sopan, serta membolehkan variasi bagi memenuhi keperluan institusi dan pilihan individu.

“Kita mahu wakil rakyat tumpu kepada membahaskan reformasi sistem penjagaan kesihatan, tetapi Ahli Parlimen PAS itu fokus pada pakaian seragam. Lucu,” katanya.

“Komen Wan Razali tidak profesional dan bermotif politik.”

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, mengingatkan bahawa semua jururawat di sektor awam mematuhi kod pakaian perkhidmatan awam.

“Kami percaya pakaian seragam jururawat sekarang yang diluluskan KKM adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan jururawat ketika menjalankan tugas.

“Dalam penjagaan kesihatan, semua orang perlu bergerak pantas.”

Sementara itu, CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib menyarankan pakaian jenis sut bedah (scrub) dipertimbangkan, bagi menekankan kawalan jangkitan.

“Reka bentuk sut bedah adalah ringkas, mudah dicuci, dan murah diganti jika rosak,” katanya.



No comments: