HAK UMNO RAYU PEMBEBASAN NAJIB. BELUM SETAHUN DALAM PENJARA, ANWAR TAK HARUS LAYAN DESAKAN UMNO BEBASKAN NAJIB

 

Menjaga hati rakyat yang benci rasuah jauh lebih penting daripada menjaga hati UMNO yang tak sabar2 mahu Najib Razak dibebaskan…

 

BELUM SETAHUN DALAM PENJARA, ANWAR TAK HARUS LAYAN DESAKAN UMNO BEBASKAN NAJIB 

 

Di depan Anwar Ibrahim yang dimuliakan sebagai tetamu kehormat PAU2023, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menegaskan, sambil disaksikan para perwakilan, akan terus memperjuangkan pembebasan Najib Razak.

 

“Kita mahukan keadilan untuk Najib. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” tegasnya.

 

Seterusnya, beliau meminta Perdana Menteri yang turut hadir supaya melihat sendiri apa yang dimahukan ahli UMNO di Dewan Merdeka terhadap Najib.

 

“Perdana Menteri lihat sendiri apa yang dinyatakan,” katanya merujuk kepada perwakilan yang berdiri melaungkan ‘Bebas Bossku’.

 

Tambah Zahid Hamidi lagi, pendirian UMNO tidak pernah berubah dalam membela nasib Najib seperti ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sebelum ini.

 

“Kita di sini beliau di sana, yakinlah semangat beliau (Najib) tetap di Dewan Merdeka.

 

“Pendirian UMNO tidak pernah berubah untuk membela dan beri kebebasan kepada Najib,” kata beliau.

 

Selain beratus-ratus perwakilan di Dewan Merdeka memegang poster dengan mesej “Keadilan Untuk Najib Razak”, terdapat juga perwakilan yang berucap mahukan Najib dibebaskan.

 

Sentimen membebaskan Najib yang dimulakan melalui ucapan Zahid Hamidi memang menjadi antara topik perbualan pada PAU kali ini.

 

Di dalam dan di luar Dewan Merdeka WTCKL, banyak pihak bercakap mengenainya dalam pelbagai versi, termasuk ada yang memberi gambaran akan wujud pemboikotan ahli tertentu dalam PRN andainya Najib tidak dibebaskan.

 

Memanifestasikan sentimen untuk membebaskan Najib di depan Anwar yang dijemput hadir sebagai tetamu kehormat tidak lain ialah ia merupakan satu bentuk tuntutan atau desakan secara terus-terang kepada beliau sebagai Perdana Menteri agar segera mengusahakan pembebasan bekas Perdana Menteri itu.

 

Oleh kerana Najib sudah melalui semua proses perbicaraan di mahkamah – Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan terakhir sekali, semakan kehakiman – di mana keputusan terkumpul adalah 13-1, tiada ruang lain lagi untuk membebaskan beliau melainkan hanya melalui pengampunan diraja yang boleh diusahakan oleh Anwar selaku Perdana Menteri.

 

Itulah sebabnya, ini sebenarnya kali pertama dilakukan, desakan membebaskan Najib itu dilakukan di depan Anwar sendiri ketika berlangsungnya PAU2023.

 

PAU tahun depan dan seterusnya, jika Anwar dijemput lagi sebagai tetamu kehormat, percayalah desakan yang sama akan terus diperdengarkan.

 

Tetapi, apa yang perlu disedari oleh semua ialah Najib belum setahun menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun yang dijatuhkan keatasnya.

 

Dengan itu, di mana logiknya menuntut pembebasan beliau dalam waktu sekarang?

 

Selain itu, ruang secukupnya juga sudah diberi kepada Najib daripada segi keadilan.

 

Oleh itu, memetik kata-kata Zahid Hamidi yang mahu Najib diberi keadilan – daripada segi mana lagi keadilan tidak diberi?

 

Tidak cukup lagikah semua proses mahkamah yang telah dilalui?

 

Tidak harus dilupakan, Najib juga masih ada tiga kes lain berkaitan 1MDB yang sedang dalam perbicaraan.

 

Jika Najib dibebaskan, apa jadi kepada kes yang sedang dibicarakan itu dan tidakkah ia boleh mempengaruhi keputusan di mahkamah nanti?

 

Dalam hal ini, di mana pendirian dan rasa hormat UMNO terhadap keluhuran undang-undang dan menyokong usaha kerajaan memerangi rasuah jika belum sampai setahun Najib menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun yang dijatuhkan keatasnya, di samping masih ada tiga kes lagi belum selesai, tetapi parti itu sudah mahukan bekas Presiden UMNO itu dibebaskan?

 

Apa pula pandangan dunia, khususnya pelabur antarabangsa terhadap negara kita jika misalnya, pembebaskan Najib menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini?

 

Paling kurang Najib seharusnya perlu menjalani hukuman penjara selama satu pertiga atau separuh daripada tempoh 12 tahun itu sebelum pengampunannya hendak diusahakan.

 

Begitu pun, lebih baik lagi kalau beliau menjalani tempoh hukuman penuh 12 tahun itu agar menjadi pengajaran kepada kita semua.

 

Kepada UMNO yang mungkin bersimpati terhadap Najib, fikirkanlah juga kesan buruk skandal 1MDB itu kepada parti dan negara.

 

Jika tiada skandal 1MDB, UMNO barangkali masih kekal sebagai kerajaan sehingga hari ini, tiada sebab untuk kalah pada 2018 dan tiada sebab juga perlu untuk sekarang berada dalam sebuah kerajaan perpaduan.

 

Yang penting sekali, sesuai dengan kegigihan Anwar memerangi rasuah dalam agendanya menerajui negara, beliau mesti tegas dan tidak harus melayan sama sekali desakan UMNO berkaitan membebaskan Najib itu.

 

Menyelamatkan negara dan menjaga hati seluruh rakyat yang benci rasuah jauh lebih penting daripada menjaga hati UMNO yang tak sabar-sabar mahu melihat Najib dibebaskan. – ShahbudinHusin 10/06/2023.

 

https://shahbudindotcom.net/

 

 

 

 


No comments: