BYE BYE PN, MAHIADDIN DAN HADI AWANG – MOU JAMIN ANWAR TIDAK TERANCAM SELAMA LIMA TAHUN






Tidak disangkal lagi perjanjian persefahaman yang dimetrai petang tadi melibatkan semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan adalah jaminan kukuh untuk Anwar Ibrahim mampu kekal tanpa terancam sehingga PRU16 akan datang.

Selain Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Perjanjian persefahaman berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu  Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Zambry Ab Kadir (BN); Alexander Nanta Linggi (GPS); Marsidi Manjun (GRS) dan Loretto S Padua Jr (Warisan).

Intipati terpenting dalam perjanjian tersebut yang memungkin Anwar tidak terancam selama ialah ia mewajibkan semua Ahli Parlimen gabungan politik dalam kerajaan perpaduan untuk menyokong usul undi percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri dan rang undang-undang perbekalan selama lima tahun.

Ia menuntut setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Anwar selaku Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan.

Perjanjian itu juga menetapkan setiap parti dan pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman parti masing-masing bagi memastikan sokongan Ahli Parlimen untuk mengekalkan kerajaan semasa dalam sebarang undian.

“Setiap parti-parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap ahli parlimen mereka mengundi menurut klausa 4(a) di atas. 

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu yang dianggap sebagai perletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan,” demikian antara petikan kandungan perjanjian itu.

Ia juga menyebut sebuah Majlis Perundingan dan Timbang Tara yang dianggotai oleh wakil-wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan diwujudkan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dilaksanakan dengan cermat dan teratur.

“Ini  agar kerajaan perpaduan Malaysia ini dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama tersebut.

“Sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melalui majlis ini,” kata perjanjian itu lagi.

Perjanjian itu juga menyebut bahawa pembentukan jemaah menteri terdiri daripada dua puluh lapan orang menteri atau apa-apa jumlah yang dianggap praktikal dan berkesan.

“Portfolio jemaah menteri hendaklah diagihkan oleh Perdana Menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua parti yang lain.

“Pembahagian portfolio jemaah menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah berkadar dengan jumlah Ahli Parlimen setiap parti yang membentuk kerajaan,” petik perjanjian itu seterusnya.

Dengan kandungan perjanjian yang begitu teliti itu, Anwar bukan saja dilihat tiada masalah melepasi undi percaya pada 19 Disember ini, malah diberi jaminan untuk kekal mentadbir negara dengan stabil sehingga PRU16 yang dijangka pada 2027 akan datang.

Bahkan, hampir pasti juga sokongan majoriti dua pertiga akan diperolehinya dalam undian usul percaya nanti.

Dalam erti kata lain, makan bolehlah diucapkan bye-bye kepada PN, Bersatu, Pas, Mahiaddin Md Yasin, Hadi Awang dan lain-lain pemimpin yang berhasrat menebuk atap kerajaan perpaduan yang dititahkan Agong ini di pertengahan jalan.

Mereka kini tiada pilihan selain perlu menghadapi perjuangan sebagai blok pembangkang untuk tempoh lima tahun mendatang ini dengan penuh reda, sabar dan jiwa yang tenang.

Sementara itu, Anwar menyifatkan permetraian perjanjian persefahaman ini sebagai detik bersejarah dalam politik negara serta mempunyai hala tuju jelas dalam memastikan kerajaan yang stabil dan mampu menumpukan kepada tadbir urus yang baik dan membangunkan ekonomi.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju.

“Dalam memorandum ini, saya ingin jelaskan yang disepakati bukan soal kedudukan atau habuan tetapi dasar berasaskan tata kelola yang baik dan memacu ekonomi secara segar dan meyakinkan.

“Saya telah diberikan kepercayaan serta terharu dengan bentuk sokongan dan juga komitmen bersama sebagai satu pasukan mantap (di bawah) kerajaan perpaduan,” katanya.

Menurut Anwar, perjanjian itu juga akan membolehkan mereka menghadapi apa jua permasalahan di Parlimen dan di luar dengan satu suara iaitu kerajaan perpaduan Malaysia.

Selain mengutamakan tata kelola yang baik dan ekonomi, Anwar berkata tumpuan mereka juga adalah  kepada Perjanjian Malaysia 1963 serta pembangunan dan dasar di Sabah dan Sarawak.

Ketika ditanya sama ada memorandum itu akan memastikan kerajaan yang stabil dan berkekalan untuk lima tahun akan datang, Anwar berkata, beliau “begitu bersemangat” dengan kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh parti-parti yang terlibat dalam memorandum itu.

Menurutnya, rundingan itu tidak begitu sukar kerana masing-masing boleh bersetuju dengan parameter dan dasar bersama. – ShahbudinHusin 16/12/2022.



No comments: