KENAIKAN KADAR FAEDAH US

 



NIK HASYUDEEN


Rizab Persekutuan Amerika menaikkan kadar faedah di sana sebanyak 0.75% lagi. Di dalam soal jawab selepas membuat kenyataanya, Pengerusi Rizab Amerika, Jerome Powell menjelaskan ada 3 perkara penting yang diambilkira di dalam menaikkan kadar faedah bagi menurunkan inflasi kepada 2% seperti yang disasarkan:

1. Berapa cepat kenaikan faedah perlu dibuat bagi menurunkan inflasi?;

2. Berapa tinggi kadar faedah yang diperlukan? Dia ada memberi gambaran bahawa kadar 4.5% seperti yang dijangka pada bulan September lalu mungkin tidak cukup tinggi;

3. Berapa lama kadar faedah perlu berada di tahap yang tinggi?

Kenaikan kadar faedah ini akan menjadikan nilai Dollar Amerika semakin teguh dan akan memberi kesan ke atas kadar tukaran asing dengan negara lain. Ini adalah kerana dengan kenaikan faedah, pelabur di seluruh dunia akan membeli Dollar untuk melabur di dalam pasaran kewangan di sana.

Saya menjangkakan bank-bank pusat lain di seluruh dunia akan menaikkan kadar pinjaman di negara masing-masing bagi mengurangkan jurang kadar faedah dengan Dollar. Ini akan membantu menstabilkan kadar tukaran asing mereka dan membendung inflasi dari diimpot ke negara masing-masing disebabkan kadar tukaran asing yang rendah.

Satu perkara penting yang akan memberikan kesan ke atas kita ialah sejauh mana kita sanggup menaikkan kadar faedah di sini? Jerome Powell dengan tegas menyatakan mereka akan jalan terus sehingga sasaran mereka tercapai bagi menurunkan kadar inflasi di Amerika. Mereka tidak akan memperdulikan kesan ke atas negara lain. Jadi, ini akan menjadi delima kepada bank pusat seperti di Malaysia.

Minggu hadapan rakyat Amerika akan mengundi di dalam pilihanraya separuh penggal. Ini tidak memberi kesan kepada Rizab Persekutuan Amerika di dalam membuat keputusan. Inilah pentingnya satu institusi yang bebas, buat keputusan di atas data dan fakta, walaupun tidak mempopularkan kerajaan.

Inilah sebabkan integriti dan kebebasan institusi rakyat seperti ini penting. Mereka buat apa yang mereka kena buat, bukan mendengar kehendak orang-orang politik yang suka menolak masalah untuk diselesaikan oleh anak cucu kita di masa hadapan, bukannya mengambil tanggungjawab di ketika ini dan hari ini. Inilah juga sebabnya saya tidak boleh menjadi ahli politik kerana saya yakin keputusan yang tepat tidak semestinya popular. Saya tidak peduli samada saya popular atau tidak. Saya lebih takut hari hisab di hadapan Allah kelak.

 

No comments: