DAP Kedah | Menang Bersama, Kalah Bersama



1. Nampaknya UMNO benar-benar terdesak untuk menang PRU dan mahukan sebuah Kerajaan BN di Putrajaya. Mereka tidak lagi mahu duduk dalam Kerajaan PN yang dipimpin oleh Naib Presiden-nya yang berjanji untuk mencalonkan Presiden daripada parti lain untuk diangkat menjadi Perdana Menteri selepas PRU15. 


2. Akibat rencana khianat itu bocor, Ismail Sabri kini telah terhimpit ke penjuru kuasa yang beliau sendiri cipta. Beliau tidak lagi mampu mencatur masa depan politik dan kedudukannya di Putrajaya. 


3. Biarpun Pakatan Harapan yang dihuni oleh DAP, Keadilan, Amanah dan UPKO cenderung untuk tidak berpilihan raya ketika negara dan rakyat diambang menghadapi petaka hujan lebat dan risiko banjir terburuk sekali lagi, namun jika PRU15 dipanggil, kami tentunya bersedia. 


4. Sebagai ahli komponen Pakatan Harapan, DAP tentunya amat bersedia dan telah menyiapkan segalanya untuk itu. Dan DAP di negeri Kedah, kami tidak terkecuali, juga telah bersedia.


5. Persediaan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk mengumpul dana dan mencari sumber kewangan, menyediakan latihan kepada ahli-ahli, meneruskan kerja-kerja bersama penduduk, dalam masa yang sama kami memantau dan membuat kajian di lapangan serta yang terpenting DAP Kedah juga telah bersedia dengan senarai calon yang mahu diketengahkan. 


6. DAP Kedah mahu menjadi sebahagian daripada perubahan besar yang bakal diterima oleh rakyat Kedah melalui calon baharu yang segar, berdisiplin, berani, mahu dan mampu berkhidmat, berintegriti serta mempunyai daya juang yang tinggi.


7. Ternyata DAP Kedah telah benar-benar bersedia sebagai sebuah pasukan bersama parti komponen lain yang dibungkus dengan semangat kesepakatan Pakatan Harapan. Kami bersedia untuk menang dan kalah bersama. 


8. Namun, tidak semuanya bersedia dengan semangat yang sama. 


9. Perubahan yang mahu kita tuntut perlulah datang diri kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan lawan untuk terima dan percaya angin perubahan dan kebersamaan yang kita tiup dan laung dari atas pentas, sedangkan kita sendiri yang ragu-ragu akannya.


10. Kita tidak akan mati ditikam oleh musuh-musuh yang garang dan bengis di depan mata, malangnya kita boleh rebah dan maut di tangan mereka yang berada di belakang kita - yang sepatutnya berdiri mempertahankan kita, menjadi penyelamat dan sahabat yang paling kita percayai. 


Nor Miswary Ramli

Langgar, Alor Setar.