Macam mana ‘banduan’ boleh ada akses Facebook, di penjara atau hospital? soal Rafizi

 

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli musykil dengan layanan diberikan kepada banduan, Datuk Seri Najib Razak.



Rafizi Ramli membangkitkan kemusykilannya berhubung status keadaan Datuk Seri Najib Razak yang seakan dilihat tidak berada dalam penjara kerana seolah-olah mempunyai akses dengan dunia luar.

Timbalan Presiden PKR itu mendedahkan berhubung pesanan mesej tular berhubung kod “merpati” yang dikaitkan dengan Najib, walhal sepatutnya bekas Perdana Menteri itu tidak boleh mendapatkan sebarang maklumat dari dunia luar.

Walaupun pada awalnya Rafizi tidak mahu melayan berhubung khidmat pesanan tular tersebut, bagaimanapun beberapa kenyataan dalam akaun Facebook Najib kebelakangan ini menimbulkan syak dan musykil adakah banduan kolar putih itu sedang menjalani hukuman di penjara atau sebaliknya kini berada di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

“Saya keliru. Rakyat diberitahu bahawa kesihatan Najib tidak baik, tetapi sebaliknya dia nampak macam sihat dan malah boleh buat hantaran di Facebook,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Jelas Rafizi, Najib boleh berhujah bahawa hantaran di media sosial itu mungkin dibuat oleh pentadbirnya yang menjaga akaun tersebut.

Namun, katanya, Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar.

“Bagaimana dia sampaikan mesej kepada pentadbir Facebooknya, lebih-lebih lagi bagaimana dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR pada Ahad lalu?” katanya lagi.

Menurut Rafizi lagi, jika benar Najib akan dihantar ke HRC, ia sekali gus mengukuhkan dakwaan di Internet itu.

“…dan ini isu serius yang perdana menteri, menteri dalam negeri dan kerajaan perlu jawab,” katanya.

Dalam laporan Malaysiakini itu juga berkata mereka sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan wakil Najib bagi mendapatkan penjelasan.

Sejak beberapa hari lalu beredar dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama kod Merpati – di media sosial.

Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa dia ke HRC bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Untuk rekod, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Baru-baru ini Najib dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mendakwa keadaan kesihatannya semakin buruk dan terpaksa menerima rawatan khusus.

 

No comments: