Benarkah peruntukan RM3.5 juta layani banduan "merpati"?



Kenyataan media Jabatan Penjara Malaysia bertajuk "Kemudahan Rawatan Kesihatan Kepada Banduan" hari ini menimbulkan banyak persoalan rakyat.


Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Fadzil Ahamad, mempersoalkan apakah kenyataan Jabatan Penjara tersebut berpunca daripada dakwaan tular di media-media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung layanan terhadap banduan VVIP yang diberi nama jolokan "merpati" di Penjara Kajang.


"Pemuda AMANAH percaya kenyataan media tersebut susulan dakwaan yang tular di media-media sosial sejak beberapa hari lepas berkenaan layanan istimewa diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Kajang.


"Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia tersebut juga seakan mengesahkan butir-butir peristiwa yang tular," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Sehubungan itu, Fadzil mahu dakwaan penglibatan Kerajaan BN - PN menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi kos ubahsuai bilik dan selanjutnya peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi urusan VVIP tersebut meliputi kenderaan, kesihatan dan penempatan perlu dijelaskan secara lanjut.


Sehubungan itu, Pemuda Amanah katanya, mahu Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan mengenai hal berkenaan.


"Kami mendesak agar Menteri Dalam Negeri tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung dakwaan-dakwaan lain yang tular seperti dinyatakan di atas, dan apakah benar peruntukan sebanyak RM3.5 juta tersebut telah disediakan oleh pihak KDN untuk urusan Najib di penjara," katanya..




 

No comments: