ANWAR SAHKAN BELIAU HANYA DIHANTAR KE HRC SELEPAS BEDAH BAHU

 

Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menempelak penyokong Najib Razak kerana menyamakan rawatannya ketika di penjara dengan bekas perdana menteri itu.

Pada sidang akhbar di Bangkok semalam, Anwar berkata dia hanya diberi akses kepada kemudahan rehabilitasi susulan pembedahan di bahunya selepas dikurung lebih 10 tahun.

Katanya, keadaan ketika itu sama sekali berbeza berbanding dengan Najib, yang dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) lima hari lalu, tidak hampir sebulan selepas dia memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

“Ada yang kata Anwar pun tinggal di pusat rehabilitasi … Pertama, saya hanya diberi kemudahan itu di pusat rehabilitasi selepas dikurung lebih 10 tahun di penjara.

“Kedua, saya hanya dihantar ke pusat rehabilitasi selepas pembedahan bahu, maka saya diberikan (kemudahan) itu,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) di Bangkok.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menjawab soalan media mengenai kontroversi yang menyelubungi hukuman penjara Najib yang didakwa diberikan layanan istimewa.

“Jadi, jangan bandingkan pengalaman saya dengan Najib. Jika dia mahu dilayan dengan cara yang sama, jalani dahulu hukuman penjara 10 tahun, kemudian baru dihantar ke pusat rehabilitasi, jika ada pembedahan,” katanya.

Najib dihantar ke penjara pada 23 Ogos selepas mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan kesalahannya dalam tujuh peruduhan rasuah yang berkaitan dengan penyelwengan dana SRC International.

Bekas perdana telah berulang alik masuk dan keluar dari hospital sejak dihantar ke penjara. Dua minggu lalu, Najib dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas alasan ulser perut – yang menurut keluarganya adalah akibat tekanan yang dihadapinya.

Dia kemudian dibenarkan keluar tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas mengadu mempunyai masalah tekanan darah.

Jabatan Penjara pada Rabu lalu mengesahkan bahawa Najib telah dipindahkan ke HRC pada Isnin tetapi berkata bahawa dia akan dihantar kembali ke penjara Kajang setelah diberi pelepasan perubatan.

KKM tidak mendedahkan butiran mengapa Najib terpaksa dimasukkan ke HRC, atas alasan terikat dengan etika yang ditetapkan.

Pada sidang akhbar semalam, Anwar berkata dia sebenarnya tidak mahu campur tangan dalam kes Najib, tetapi terpanggil untuk memberikan respons.

Ini kerana ramai yang membuat perbandingan antara layanan yang diterimanya berbanding Najib dengan Anwar sendiri pernah dihantar ke HRC semasa menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwatnya.

Anwar berkata beliau juga tidak mahu pemindahan Najib dari HKL itu menjadi isu sekiranya doktor memang mendapati bekas perdana menteri itu tidak sihat.

“Ada beberapa isu kemanusiaan yang terlibat, jika dia benar -benar sakit, dan doktor mengesahkan dia tidak sihat, saya tidak mahu ini menjadi isu.

“Saya mengulas kerana ada yang cenderung berkata mengapa Najib tidak boleh dihantar ke pusat rehabilitasi sedangkan Anwar diberi rawatan yang sama.

“Mengarut,” katanya.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/636763

No comments: