'Sembilan tahun hidup saya dihabiskan mengejar kes SRC,1MDB' - Rafizi





Skandal SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara kes penyelewengan yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan sejak proses pendedahan sehinggalah pelaku dibicarakan dan dijatuhkan hukuman.


Sepanjang tempoh itu, terdapat sosok yang konsisten memburu dan mendedahkan jenayah mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.


Beliau adalah Timbalan Presiden KEADILAN hari ini, Rafizi Ramli.


Menurut Rafizi, beliau mula perasan mengenai 1MDB pada tahun 2011 selepas syarikat itu membayar berbilion ringgit dalam urusniaga membeli blok minyak mentah melibatkan PetroSaudi dan merupakan tindakan luar biasa kerana isu melibatkan petroleum biasanya diurus menggunakan Petronas.


"Pada ketika itu, baru dua tahun saya meninggalkan dunia oil and gas (O&G). Masih ramai kawan-kawan dalam O&G dan saya juga masih mengikuti dengan dekat perkembangan O&G.


"Maklumat dari dunia O&G ketika itu mempersoalkan sama ada blok yang dibeli itu benar-benar wujud. Lagi pun, jika benar wang rakyat mahu digunakan untuk membeli blok minyak, bukankan lebih baik melalui Petronas?


"Saya pernah selit soal 1MDB dalam ucapan-ucapan sepanjang 2011-2012 tetapi tidak ke mana sebab tiada bukti yang sahih," katanya.


Bagaimanapun urusniaga 1MDB menjadi mencurigakan, kata Rafizi, apabila melibatkan kepulauan Cayman.


Cayman merupakan syurga bagi penyeleweng atau koruptor meletakkan sejumlah dana tanpa dikesan oleh agensi penyiasat.


"Kenyataan saya yang pertama ialah pada 23 April 2013 kerana (terdapat) berita melaporkan 1MDB memindahkan sejumlah RM7 bilion ke akaun sulit di Cayman Island, pusat kewangan pesisir pantai (“offshore financial centre”).


"Saya mula kenal mengenai Cayman Island seawal belasan tahun dari membaca buku The Firm tulisan John Grisham. Sebagai akauntan, saya tahu Cayman Island tempat wang disembunyikan.


"Seminggu selepas kenyataan ini, saya menerima surat saman pertama mengenai kes 1MDB. Saya belum lagi menjadi Ahli Parlimen ketika itu," katanya.


Selebihnya adalah sejarah. Di antara tahun 2013 sehingga kini Rafizi telah menulis sejumlah 123 artikel dan kenyataan media mengenai SRC dan 1MDB


"Sembilan tahun hidup saya dihabiskan mengejar kes SRC dan 1MDB serta dalang-dalang di belakangnya.

"Semasa saya berkempen ke arah PRU14 dahulu, saya sering berseloroh bahawa saya akan membawa trak saya untuk menjemput Najib ke penjara atas tindakannya melalui SRC dan 1MDB yang menyebabkan rakyat berhutang lebih RM50 bilion," ujarnya.


Justeru tegas Rafizi, keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan Najib semalam bukanlah satu kemenangan kepada sesiapa, sebaliknya tragedi kepada negara dan rakyat kerana wang yang hilang tidak akan kembali.


"Banyak individu yang menanggung kepayahan untuk memastikan kebenaran ini ditegakkan.


"Peristiwa ini memberi satu keinsafan bahawa kita hanya manusia yang mengikut ketentuan Allah, tidak kira apa darjat dan kedudukan kita di mata manusia lain," katanya lagi.

 

No comments: