PH setuju ubah suai logo, ingin padam ‘cerita lama’, kata Anwar





Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, berkata gabungan itu
 mahu memadam cerita lama di mana gabungan itu dilihat gagal
 membawa agenda reform seperti yang ingin dibawa.

PETALING JAYA: Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) bersetuju mengubah suai logonya sebagai tindakan memadam “cerita lama”, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kesepakatan menggunakan satu logo sahaja juga bagi menyanggah persepsi pihak luar bahawa gabungan itu “tidak bersatu” selepas beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.

“Ada orang kata kita berpecah, kalau ikut sentimen PKR (mahu) guna logo PKR tetapi kalau kita ikut perkembangan di Johor, seolah-olah kita berpecah.

“(Orang luar) nampak Anwar pengerusi PH tetapi mereka berpecah (soal logo), jadi saya kata baiklah kita bersetuju guna satu logo,” katanya kepada media selepas menghadiri seminar.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Katanya, lebih baik PH bersetuju menggunakan satu logo sahaja agar tidak menimbulkan kekeliruan.

“Jadi saya kata lebih baik lah kita bersetuju kepada satu logo dan semalam juga bersetuju logo diubahsuai supaya tak melambangkan ‘cerita lama’,” katanya.

Anwar merujuk ‘cerita lama’ berhubung kritikan ketika gabungan itu memerintah kerajaan 22 bulan, sebelum tumbang dalam Langkah Sheraton.

Presiden PKR itu berkata, ketika gabungan berkenaan memerintah, ia tidak mewakili “pandangan reform”.

“Seperti yang kita sebut yang memerintah itu tidak mewakili pandangan reform, jadi beberapa keputusan itu melanggar semangat reform yang kita nak bawa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Sabah dan Sarawak kekal diberi autonomi memilih menggunakan logo PH atau simbol parti masing-masing, dalam PRU15.

“Sabah Sarawak kita serah kepada mereka untuk putuskan sama ada mereka pilih PH atau logo sendiri,” katanya.

Ketika ditanya adakah situasi melibatkan pemimpin Umno ketika ini memberi kelebihan kepada PH memasuki PRU, Anwar dengan ringkas berkata: “Kita harus bina kekuatan PH sendiri.”

Katanya, PH harus mengambil iktibar kelemahan pemerintahan 22 bulan gabungan itu yang diketuai Dr Mahathir Mohamad, dengan memikirkan hala tuju yang tidak “menyimpang daripada apa yang telah berlaku”.


No comments: