Sebahagian laporan audit forensik kapal LCS dihitamkan, kerajaan perlu beri penjelasan - Fahmi




Kerajaan Malaysia yang menyahklasifikasikan laporan audit forensik pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sejak kelmarin perlu memberi penjelasan mengapakah bahagian bahagian tertentu muka surat laporan itu dihitamkan.


Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, nyahklasifikasi itu tidak bermakna sekiranya maklumat penting terus dirahsiakan sehingga tidak akan menunjukkan kepada umum apakah yang sebenarnya berlaku.


"Saya lihat kita perlu dapatkan beberapa penjelasan dari pihak kerajaan apakah sebab reduksi atau reduction (pengurangan) bahagian yang telah dihitamkan ini, dibuat begitu. Sebab kalau kita lihat dalam muka terawal, tajuk pun dihitamkan.


"Pada senarai takrifan bagi no 87 atau 88, glosari ada yang dihitamkan. Jadi dia mesti ada asas (menghitamkan reduksi). Itu yang penting untuk kita fahami, kita tidak mahu wujud persepsi sebarang bentuk cover up, kita tak mahu," katanya.


Penelitian media ke atas laporan audit forensik bertajuk "Review of The LCS Programme" itu mendapati banyak muka surat yang dihitamkan dan menimbulkan tanya tanya.


Misalnya pada muka 7, juga di muka 10 carta alir projek dihitamkan sebahagiannya.


Seterusnya pada muka 14, 15, 16. Manakala pada muka 85 hingga 93 semua maklumat dihitamkan dan mengganggu pemahaman pembaca mengenai aktiviti syarikat Alizes Marine yang dibangkitkan dalam pendedahan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, sebelum ini.


Sehubungan itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia mahukan ketelusan dalam pendedahan laporan audit berkenaan.


Beliau turut mempersoalkan, mengapakah hanya laporan sehingga tahun 2015 dinyahklasifikasikan. Di manakah laporan dari 2015 dan seterusnya mengenai projek pembinaan kapal berkenaan.


"Ini seperti, bagi saya tidak memberi maklumat penuh. Cuma ada sebahagian yang dibenarkan untuk diterbit.


"Dalam masa sama, beberapa perkara dalam laporan itu yang agak penting ialah bagaimana tidak ada audit yang dilakukan dari 2015 hingga sekarang.


"Dia hanya sehingga 2014. Forensik audit ini belum lengkap," katanya lagi.





 

No comments: