*JIKA BENAR SUMPAH MUBAHALAH MENGATASI BUKTI, KENAPA PRESIDEN PAS TIDAK BERSUMPAH SAHAJA DALAM KES SAMAN SARAWAK REPORT*

 


1. Kenyataan AJK PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki bahawa beliau masih belum yakin Dato’ Sri Najib Razak bersalah kerana sumpah mubahalah yang dibuat Najib sehari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan secara muktamad Najib bersalah atas 7 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram dana KWAP dalam SRC sebanyak RM 42 juta amat mengelirukan. 


2. Ini adalah kerana sumpah mubahalah ini tidak diitiraf dalam perundangan Islam. Adakah sumpah mengatasi bukti? Atas nas atau dalil apakah beliau beranggapan begitu? Sedangkan Allah menyebut secara jelas tentang pemakaian bukti dalam perundangan sepertimana dalam surah al-An’aam : 152 yang bermaksud “Dan apabila kamu memberikan apa-apa keterangan maka hendaklah kamu berlaku adil sekali pun orang itu mempunyai hubungan kerabat”. Malahan, tiada apa-apa nas atau dalil yang mengiktiraf sumpah mubahalah dalam kes jenayah. 


3. Di dalam kes Najib ini, bukti yang dikemukakan pihak Pendakwa Raya amat jelas melepasi keraguan munasabah sehinggakan Mahkamah Persekutuan membuat dapatan bahawa kes tersebut adalah ‘simple and straightforward’. 


Dalam penghakiman semalam, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa wang sebanyak RM 42 juta tersebut tidak dinafikan masuk ke akaun peribadi Najib dan bukti dokumentar jelas menunjukkan wang tersebut habis dibelanjakan. Mahkamah Persekutuan juga mendapati dapatan Hakim Nazlan bahawa pembelaan derma putera Arab tidak dibuktikan. 


Maka, PAS dicabar untuk justifikasikan di mana silapnya keputusan mahkamah di dalam kes ini supaya sistem undang-undang dan kehakiman negara tidak tercemar dengan dakyah songsang PAS ini. 


4. Jika sumpah mubahalah boleh diterima dalam sistem perundangan, kenapa tidak Presiden PAS bersumpah mubahalah sahaja di dalam kes saman fitnah dana RM 90 juta terhadap Editor Sarawak Report Clare Brown. 


Untuk apa PAS perlu membayar RM 1.4 juta sebagai kos menarik balik kes, jika sumpah mubahalah sah bagi membebaskan PAS daripada tuduhan tersebut. Pendirian flip-flop PAS ini menunjukkan sikap hipokrasi PAS dalam menghalalkan perjuangan mereka atas sentimen agama. 


*Faiz Fadzil*

24 Ogos 2022


No comments: