TU DIAAA MAT MASLAN CABAR PAS BUBAR....WALAUN KATA TAK MUSTAHIL...ZAMAN TOK GURU DULU KATA JANGAN PERCAYA UMNO

 


‘Nak berbaik dengan kita, bubarlah PAS’, kata Ahmad Maslan



facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata sekiranya PAS mahu ‘berbaik’ dengan Umno, beliau mencadangkan PAS dibubarkan.

PETALING JAYA: PAS sudah boleh dibubarkan memandangkan Umno turut membawa wadah perjuangan Islam selepas meminda perlembagaan parti pada 2019, kata setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya, Umno sudah meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.\“Fasal 3.1 (Perlembagaan Umno), sebelum ini (diletakkan dalam) Fasal 3.3, tapi sekarang sudah dinaikkan ke Fasal 3.1, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan. Baru-baru ini, mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan Umno,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ahmad berkata, sebelum ini, agenda mendokong cita-cita Islam kini merupakan asas dan tujuan parti itu.

“Dengar betul-betul, asas dan tujuan Umno sudah dipinda. Umno adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam. Sebelum ini tidak diletak dalam asas dan tujuannya (dalam perlembagaan Umno), sekarang sudah ada.

“Sebelum ini Umno, sebuah parti politik yang mendokong perjuangan kebangsaan Melayu, itu yang pertama.

“Sekarang yang pertama, Umno adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Melayu dan kemakmuran serta kestabilan negara. Itu asas perjuangan Umno yang kita sudah pinda 2019,” katanya.

Hari ini, di Alor Setar; Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Md Nor, menegaskan partinya tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Menteri besar Kedah itu, berkata parti itu masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuhkan politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

“PAS tidak ada masalah (bekerjasama) dengan Umno. Jika Umno ada masalah, mereka perlu selesaikan kerana PAS tidak ada masalah. Kita masih berpegang kepada keputusan dibuat kepimpinan dan Majlis Syura, kita konsisten dan tidak ada perubahan di mana PN kita mahu, MN pun kita mahu.

“Matlamat PN dan MN adalah penyatuan ummah, memperkukuh politik Melayu dan menyatupadukan ummah dalam keadaan umat Islam berdepan cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru. ‘Ubat’ kepada isu ini adalah memperkukuh perpaduan dan kerjasama umat Islam,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi, yang memberi bayangan mustahil MN diteruskan jika PAS terus memperlihatkan sikap ‘talam dua muka’.

Di Kota Bharu pula, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah meminta Umno menilai semula pendiriannya berhubung kedudukan dalam MN bagi membolehkan kedua-dua parti kembali bekerjasama demi kepentingan Melayu dan Islam.

Katanya, PAS sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) demi kepentingan bangsa dan agama.

“PAS sentiasa terbuka untuk bersama-sama Umno dan boleh duduk berbincang asalkan ia membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Umno boleh nilai semula pendirian mereka sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan PAS,” katanya.

“Kalau kita mahu khianati Umno, kita dah tarik sokongan kepada Umno. Bersatu juga tidak tarik sokongan kepada Umno. Kita sanggup duduk bersama Umno sebab demi penyatuan ummah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, pula menegaskan parti itu akan memuktamadkan kedudukan dalam MN yang dibina bersama PAS selepas menerima pandangan pimpinan parti di semua peringkat.

Katanya lagi, buat masa ini kenyataan berhubung status Umno dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu hanya sekadar pandangan individu.