Rafizi terlalu optimis peluang PKR di Sabah, kata penganalisis

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Rafizi Ramli berucap dalam sebuah himpunan yang diadakan untuk
 kempennya sebagai calon timbalan presiden PKR di Kota Kinabalu pada
 hujung minggu lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penganalisis menolak ramalan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bahawa Sabah bakal dilanda “tsunami” PKR dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16) kelak.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, Rafizi nampaknya terlalu optimis, manakala Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura “bingung” dengan keyakinan yang ditunjukkan itu berdasarkan prestasi hambar PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.

Bagang mempersoalkan sama ada ramalan Rafizi itu bergantung kepada sokongan pengundi muda dalam dekad akan datang kerana tiada jaminan golongan itu akan menyokong PKR berbanding banyak parti lain yang aktif di negeri berkenaan.

“Jika kita lihat prestasi PKR dalam PRU14 dan PRN Sabah yang lalu, ia tidak menunjukkan prestasi baik,” katanya kepada FMT selain menambah bahawa parti pimpinan Anwar Ibrahim itu hanya mendapat sokongan akar umbi di beberapa kawasan di in Sabah.

Oh pula menyifatkan bahawa PKR secara tradisinya dianggap parti untuk kesenangan ahli politik bercita-cita tinggi menyertainya buat sementara apabila tiada tempat lain dituju sebelum melompat ke tempat lain yang lebih menguntungkan.

“Melainkan PKR mempunyai ‘sumber’ yang terbukti sangat diperlukan untuk menang di kawasan luar bandar selain jentera untuk mengagihkannya, tidak mungkin mereka mampu membuat tuntutan berkesan di kawasan luar bandar yang luas di Sabah,” kata Oh.

Katanya, PKR juga perlu bersaing dengan DAP dan Warisan untuk mendapatkan undi pembangkang di kawasan bandar serta pinggir bandar.

PKR kini hanya memegang dua daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, selain dua daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu. Ia bertanding tujuh kerusi dalam PRN Sabah yang lalu.

Sementara itu, Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, sekiranya PKR mahu memberi impak di Sabah, parti itu perlu diketuai pemimpin baharu, progresif dan berkebolehan.

Katanya, parti itu perlu mendekati “ramai golongan muda” yang tertarik dengan “dasar progresif dan pendekatan pelbagai bangsanya”.

Beliau memberitahu FMT, PKR mendapat sokongan yang diperlukan, namun pemimpinnya perlu “turun padang dan meremajakan semula jenteranya”.


No comments: