TIADA JAMBATAN DIBAKAR DALAM PERSAINGAN RAFIZI – SAIFUDDIN


 BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT – Peribahasa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2022.

Di dalam Kamus Dewan terbitan tahun 1970, biduk adalah perahu untuk menangkap ikan atau mengangkut barang di sungai.

Manakala peribahasa, “biduk lalu kiambang bertaut” bermaksud lebih baik jangan dicampuri perselisihan orang yang bersanak saudara kerana akhirnya mereka akan berbaik balik.

Maka begitulah relevannya peribahasa ini dengan proses pemilihan Parti Keadilan yang sedang berlangsung sekarang.

Proses pemilihan pimpinan Parti Keadilan yang mesti diadakan setiap tiga (3) tahun sekali di bawah Fasal 47.3 Perlembagaan Parti Keadilan bolehlah dianggap sebagai “biduk”. Manakala “kiambang” adalah tumbuhan yang hidup terapung di permukaan air sungai adalah diibaratkan sebagai lebih sejuta anggota Parti Keadilan di seluruh negara.

Pemilihan kepimpinan Parti Keadilan ini menarik minat masyarakat di Malaysia sekarang ini. Ia tidak menghairankan atas banyak sebab. Pertama, Parti Keadilan adalah parti pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kedua, Parti Keadilan dipimpin oleh Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan sebab Ketiga, Parti Keadilan mempunyai anggota yang ramai, melebihi sejuta orang dan satu-satunya parti politik Malaysia yang mempunyai cabang atau bahagian di semua 222 buah kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.

Tegasnya Parti Keadilan adalah parti berstatus nasional, bukannya parti yang bersifat wilayah.

Ada pihak berasa bimbang pemilihan Parti Keadilan sekarang ini akan menimbulkan perpecahan. Kebimbangan itu agak berlebih-lebihan sebenarnya. Jawatan Presiden telah dimenangi oleh Anwar Ibrahim tanpa bertanding.

Ertinya kedudukan Anwar tidak dicabar di dalam pemilihan kali ini.Ini adalah kali kedua Anwar menang tidak bertanding dalam pemilihan sebagai Presiden Parti Keadilan. Kali pertama dalam pemilihan tahun 2018. Anwar bukan sahaja Presiden parti tetapi beliau juga adalah penyatu yang menyatukan seluruh anggota parti selama ini.

Tetapi tidak dinafikan, pertandingan yang agak sengit adalah di peringkat jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Pertandingan antara Saifudin Nasustion dengan Rafizi Ramli tidak akan memecahkan Parti Keadilan. Pertentangan antara Saifudin dengan Rafizi tidak melibatkan pertentangan ideologi. Ia hanya sekadar perbezaan strategi iaitu berkisar pada persoalan bagaimana Parti Keadilan patut lakukan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-15.

Siapapun yang menang jawatan Timbalan Presiden, ia akan membantu Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan akan menguatkan Parti Keadilan itu sendiri. Anwar sebagai seorang Presiden dan seorang demokrat akan menerima siapa jua yang dipilih oleh anggota parti untuk menjadi Timbalan Presiden.

Juga menarik perhatian masyarakat umum bahawa terdapat 17 orang calon yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Naib Presiden untuk empat (4) kerusi Naib Presiden yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan.

Pemilihan kepimpinan Keadilan pada tahun 2022 ini memberi kesan yang amat positif. Sekarang masyarakat umum di seluruh negara dapat melihat siapa-siapa tokoh selain Anwar dalam Parti Keadilan. Siapa-siapa pemimpin pelapis.Siapa berada di lapis kedua. Siapa-siapa berada di lapis ketiga hiraki kepimpinan Keadilan.

Pertandingan di peringkat Wanita Keadilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga hebat dan sengit. Ini membuktikan Parti Keadilan tidak kurang bakat kepimpinan.Beribu orang anggota Parti Keadilan di seluruh negara sekarang sedang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di dalam parti, dari kepimpinan di Majlis Pimpinan Pusat sehinggalah ke peringkat akar umbi di peringkat Jawatankuasa Cabang.

Jika Parti Keadilan dianggap sebagai satu organisma, maka ia adalah organisma yang hidup subur, bergerak dan membiak aktif.

Parti Keadilan sekarang muncul lebih yakin dan berani berbanding Umno dalam menghadapi pemilihan parti masing-masing. Di kala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhempas pulas untuk mengatur strategi supaya pemilihan Umno diadakan selepas Pilihanraya Umum ke-15, tetapi Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim tidak bimbang akan kedudukannya dicabar dan tidak bimbang akan perpecahan parti sekalipun pemilihan parti dilakukan sebelum PRU-15.

Dalam hal ini Anwar muncul bukan sahaja sebagai seorang demokrat yang percaya pada mandat anggota, tetapi mencerminkan idealisme refomasi yang diperjuangkannya selama ini.

Anwar mungkin faham dan menyedari peribahasa Melayu iaitu “biduk lalu, kiambang bertaut”. Selepas proses pemilihan ini saf kepimpinan Parti Keadilan akan lebih kompak dan bersatu. Sebagai pemimpin suatu jemaah, Anwar tidak boleh gagal untuk mempastikan semua kiambang di permukaan sungai itu agar bertaut semula.

Persaingan antara Saifudin dan Rafizi tidaklah kelihatan tegang dan sengit sehingga dilihat seperti “berkerat rotan” ataupun “menang jadi arang, kalah jadi abu”. Pertentangan antara Saifudin dan Rafizi kali ini berbeza sifatnya jika dibandingkan pertandingan antara Azmin Ali dan Rafizi Ramli empat tahun lalu, pada 2018.

Rafizi dan Saifudin kelihatan membawa pendekatan “gentlemen” dalam persaingan antara mereka berdua. Penyokong masing-masing yang mungkin “lebih sudu dari kuah”. Kedua-dua tokoh ini, Saifudin dan Rafizi kenal hati budi masing-masing.

Lalu mereka mendekati pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden itu dengan pendekatan “air dicencang tidak akan putus”, bukannya pendekatan “berkerat rotan, berpatah arang”.

Tidak ada “jambatan sesiapa dibakar” angkara pemilihan Parti Keadilan kali ini. Pemilihan kepimpinan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah persaingan persahabatan dalam satu keluarga besar Keadilan yang kedua-dua tokoh ini, Saifuddin Nasustion dan Rafizi Ramli ada saham besar dalam membangunkan Parti Keadilan sehingga kuat dan berpengaruh seperti sekarang ini.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang.



No comments: