Rakyat menderita, apa perlu menteri pakai Vellfire, soal PKR

 




Kereta rasmi kerajaan berubah daripada Proton Perdana 2.4lL kepada Toyota Vellfore 2.5L dengan pajakan bulan sebanyak RM5,759.35.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan menggantikan kereta sedan empat tempat duduk kepada MPV mewah tujuh tempat duduk sebagai kenderaan rasmi menteri membazirkan duit rakyat, kata pemimpin PKR.

Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan P Prabakaran mengkritik langkah kerajaan menukar kereta Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi menteri.

“Menteri Perikatan Nasional (Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz) bukan sahaja membazirkan duit rakyat melalui pembelian kereta mewah, tetapi mendedahkan hampir RM1 juta dibelanjakan untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu pejabat di Perdana Menteri.

“Tambahan pula pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana bernilai RM30 juta juga membazir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal minggu ini, Tengku Zafrul mengumumkan pertukaran kereta itu dibuat pada April, menerusi jawapan bertulis dalam sidang Parlimen yang mendedahkan bahawa kos pajakan setiap kereta adalah RM5,759.35 sebulan.

Sehingga September katanya, kerajaan telah membayar sejumlah RM1.42 juta kepada syarikat konsesi.

Prabakaran berkata, bagaimanapun berdasarkan pengiraan, jumlah perbelanjaan untuk kereta Vellfire adalah 41 unit, sedangkan Kabinet hanya mempunyai 32 menteri.

“Jadi siapa yang menggunakan baki sembilan lagi Vellfire ini,” soalnya.

Katanya, konsep Keluarga Malaysia hanya retorik ketika perbelanjaan pentadbiran kementerian semakin meningkat tetapi peruntukan kepada kementerian penting seperti kesihatan dikurangkan oleh kerajaan.

“Pembaziran ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak sensitif terhadap rakyat Malaysia yang menderita, termasuk mereka yang kehilangan mata pencarian akibat pandemik, perniagaan kecil dan sederhana menjadi muflis, yang menjejaskan kesihatan mental mereka.”

Beliau berkata, menteri perlu peka terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat, bukan hanya mereka yang membuat janji kosong.

No comments: