ISMAIL SABRI TERUS KUKUH SEBAGAI ‘BAPA PERLANTIKAN’, TAPI JAWATAN DUTA TAK SESUAI UNTUK TAJUDDIN



 Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kini sedang berada di Indonesia untuk lawatan rasmi selama tiga hari ke negara tersebut.

Turut bersama dalam rombongan lawatannya itu ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Keberadaan bekas Pengerusi Prasarana Berhad itu bersama Perdana Menteri itu menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan beliau akan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Sebelum ini sewaktu Ismail Sabri melawat Kedah selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu, beliau adalah antara beberapa Ahli Parlimen yang turut bersama menaiki jet eksekutif kerajaan dalam lawatan berkenaan.

Sejak itu, di samping sebelum ini beliau memang diketahui kuat menyokong Ismail Sabri, bukan saja dalam bersama mempertahankan kedudukan Mahiaddin Md Yasin, bahkan sejak Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri lagi.

Lantaran itu, Tajuddin disebut-sebut akan diberi jawatan menteri sebagai balasan kepada sokongannya itu.

Begitu pun, Tajuddin tidak diberikan apa-apa jawatan, baik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam susunan kabinet yang dibentuk Ismail Sabri.

Beberapa lama kemudian, nama beliau dikhabarkan akan dilantik sebagai Duta Besar ke Indonesia bersama Nazri Aziz, Ahli Parlimen Padang Rengas yang turut disebut akan dilantik sebagai Duta ke Switzerland.

Meskipun berita perlantikan itu agak senyap sejak kebelakangan ini, tetapi dengan beliau turut sama bersama Ismail Sabri dalam lawatan ke Indonesia ini, hampir pastilah jawatan itu akan diberikan kepadanya.

Kalau tidak, buat apa Ismail Sabri membawanya sekali ke Indonesia?

Nampaknya Ismail Sabri terus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai “Bapa Perlantikan” dengan melantik, melantik dan terus melantik lagi pemimpin-pemimpin UMNO ke jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan sebagai habuan dan untuk mengukuhkan kedudukannya.

Belum pun sampai 100 hari sebagai Perdana Menteri, sementara bayang kejayaan kerajaan dan menteri-menteri masih kabur, yang terserlah nampaknya hanyalah kemampuannya dalam memberi jawatan dan ganjaran kepada sekian ramai kelompok dalam UMNO.

Dalam kes Tajuddin, meskipun hak Ismail Sabri untuk melantiknya sebagai Duta Besar ke Indonesia, tetapi lantikan tersebut dengan jelas memperlihatkan Perdana Menteri tidak bijak dalam membuat pertimbangan.

Ini kerana, sebagaimana yang umum sedia tahu dan selalu terpapar di media, Tajuddin adalah seorang yang berwatak keras, kadangkala kasar, selalu cakap lepas, tiada diplomasi dan seolah-olah banyak bertindak menurut kata hati.

Baik dalam berbahas di Parlimen atau ketika memberikan sidang media, itulah kesimpulan yang mudah tergambar tentang dirinya.

Di lobi Parlimen, beliau juga pernah bergaduh dengan seorang Ahli Parlimen BN yang lain tidak lama sebelum ini.

Pendeknya, Tajuddin tiada watak seorang diplomat dalam dirinya, walaupun sebagai ahli politik, liku-liku perjalanannya banyak menghasilkan kejayaan.

Kalau mahu dibandingkan dengan Nazri Aziz yang dikhabarkan akan jadi duta ke Switzerland (ada khabar katanya Nazri sudah pun memulakan tugas) atau arwah Mohamed Rahmat (Tok Mat) yang pernah jadi Duta Besar ke Indonesia sebelum ini, watak Tajuddin dengan kedua-duanya amat jauh sekali.

Dengan perwatakannya itu, adalah dibimbangi perlantikannya akan tercetus pelbagai masalah yang tidak menyenangkan dalam konteks hubungan dua hala yang mesra dan seperti adik-beradik antara Malaysia dan Indonesia selama ini.

Apatah lagi, jika isu yang timbul itu nanti melibatkan mainan pihak media Indonesia yang memang kita ketahui amat ampuh serangan serta tajam penulisannya, tentulah kesannya lebih buruk lagi.

Siapa yang akan malu akhirnya?

Ismail Sabri dalam hal ini, kalau pun terlalu didorong oleh keinginan memberi jawatan kerana habuan atau ganjaran kepada seseorang yang pernah berbudi kepadanya, fikirkanlah sama soal kesesuaian dan hasilnya untuk negara.

Apakah tiada orang lain selain Tajuddin yang lebih layak dan berwibawa untuk dilantik sebagai Duta Besar ke Indonesia?

Tajuddin mungkin lebih sesuai diberikan jawatan jawatan lain, tetapi bukan sebagai duta.

Janganlah main bedal saja mengurus negara ini seperti mengendali syarikat sendirian berhad. 


– ShahbudinHusin 10/11/2021.



No comments: