Tindakan tegas individu terbukti salah, kata Hamzah berhubung dakwaan ‘beli’ pemimpin DAP

 

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa ditawarkan ganjaran dan kedudukan oleh pihak tidak dikenali.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan polis menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan yang dibuat.

“Selain merujuk laporan polis tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh pihak terlibat.

“Kementerian Dalam Negeri akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis palsu dan fitnah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen parti itu ditawarkan rasuah supaya menyokong kerajaan PN.

Sabtu lalu, mereka mendakwa ditawarkan wang serta jawatan menteri untuk meninggalkan parti itu dan memberi sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan diuji keabsahannya di Parlimen bulan depan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan itu oleh pihak tidak dikenali.

Khoo mendakwa, beliau ditawarkan “durian RM30” dan jawatan menteri menerusi mesej di WhatsApp. Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii turut mendakwa menerima tawaran sama.

Kula, yang juga Naib Pengerusi DAP, kemudian membuat laporan polis selepas pegawainya menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp menawarkan Ahli Parlimen itu wang, jawatan menteri dan ganjaran tambahan untuk “memperoleh sokongan kepada kerajaan PN”.

No comments: