Rakyat bidas PM beri kelonggaran kepada individu terima vaksin lengkap


 


Orang ramai dilihat membidas keputusan kerajaan memberikan kelonggaran kepada individu vaksinasi lengkap kerana dibimbangi mengundang risiko peningkatan bilangan kes positif harian Covid-19.

Antara kemudahan yang diberikan ialah pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Turut dibenarkan, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap untuk merentas daerah dan negeri bagi tujuan berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Sehubungan itu, rata-rata warganet mempersoal tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan kes aktif Covid-19 semakin meningkat serentak dengan ancaman penularan varian delta.

Bahkan, pakar perubatan juga sebelum ini mengingatkan bahawa lengkap vaksinasi bukan jaminan bebas jangkitan Covid-19.

“Kegilaan apa ni Datuk Seri (Mahiaddin). Di saat kes Covid-19 mencanak naik dan yang lengkap vaksin pun boleh menularkan jangkitan kepada mereka yang belum divaksin.

“Betul-bettul merisaukan apa akan terjadi ke depan kelak. Ibarat bom jangka menunggu masa untuk meletup,” kata pengguna Facebook, Syah Dan.

Ada juga berpendapat kerajaan PN sudah banyak melakukan kesilapan sehingga jangkitan Covid-19 kembali melambung naik sehingga menyebabkan banyak nyawa melayang.

Bagi Hani Maza, akibat daripada pengumuman Mahiaddin itu akan ‘dituai’ hasilnya pada September nanti.

“Disebabkan keputusan yang salah dilakukan kerajaan, akhirnya rakyat yang terima padah. Kes kematian semakin bertambah, kes harian masih lima angka. Jumlah kes aktif lebih 200,000.

“Sampai bila rakyat nak teruskan dengan kerajaan yang tidak mampu nak ambil tindakan yang betul untuk pulihkan Covid-19?,” tegasnya Hani lagi.

Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) juga dilihat bakal dibebani dengan pertambahan pesakit Covid-19 susulan sejumlah kemudahan yang diumum Mahiaddin hari ini.

“Untuk apa kelonggaran diberi ketika yang setiap hari sekitar 20,000 kes Covid-19.

“Ini macam nak bagi barisan hadapan kita matikah? Sekarang pun dah tenat nak kendali 20,000 kes,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kemudahan dan kelonggaran tersebut ditangguhkan terlebih dahulu.


No comments: