Ketua Bahagian Umno lancar gerakan guling Zahid?

 


Panas! Ketua Bahagian Umno lancar gerakan guling Zahid?


Pemimpin akar umbi UMNO seluruh negara kini sudah melancarkan gerakan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ekoran langkahnya menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gerakan tersebut yang terdiri daripada Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin peringkat cawangan difahamkan sudah mula bergerak dengan menyerang Presiden kerana tindakannya yang disifatkan tidak mementingkan masa depan parti dan lebih mementingkan kepentingan peribadi semata-mata.

Daripada maklumat diterima Agenda Daily, sekurang-kurangnya 50 Ketua UMNO Bahagian sudah bersedia untuk melawan Zahid dan akan membuat aduan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan Zahid yang tidak mengikut peraturan parti, ia termasuk isu berkaitan pemilihan parti.

Kumpulan Ketua UMNO Bahagian tersebut terdiri daripada penyokong yang tidak sehaluan dengan Zahid dan mereka memilih untuk bersama dengan 31 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan PN dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata untuk kekal menyokong kerajaan sedia ada selepas mengambil kira keadaan krisis Covid-19 dan titah Yang di-Pertuan Agong yang perkenan supaya keabsahan kerajaan ditentukan semasa sidang Parlimen nanti.

“Sekiranya kerajaan Perikatan yang ada sekarang jatuh, maka negara akan sekali lagi terjerumus dalam krisis politik yang akan memberi kesan terhadap usaha–usaha

pemulihan akibat Covid-19.

“Justeru, sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang mewakili seluruh ahli–ahli UMNO Bahagian Alor Setar mengambil ketetapan atas rasa kebertanggungjawaban terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat Covid-19, maka sokongan harus di beri kepada kerajaan sedia ada iaitu kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU15 tanpa berpaling daripada taat setia kepada perjuangan parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendirian Yusof tersebut bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang diumumkan oleh Zahid dan menolak tindakan untuk keluar daripada kerajaan PN seperti yang diinginkan oleh badan tertinggi parti itu.

Sementara itu, seorang lagi Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah juga senada dengan UMNO Bahagian Alor Setar yang mahu kekal bersama dalam kerajaan PN dan menumpukan kepada usaha untuk menangani isu kebajikan rakyat dan bukannya merebut kuasa.

“Pada masa sukar ini amatlah molek dan sangat bijaksana sekiranya UMNO kekal mendukung bersama-sama kerajaan PN, mengemblen buah fikiran dan tenaga bagi sama-sama membela rakyat, raja dan negara keluar daripada krisis dan musibah yang maha mencabar ini selaras dengan matlamat tersirat dan tersurat perjuangan UMNO itu sendiri iaitu demi agama, bangsa dan tanahair,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria juga menyokong tindakan 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat pendirian untuk kekal menyokong kerajaan PN.

“Malah pada hemat saya selaku pemimpin daripada strata rakyat di peringkat Bahagian UMNO, sepatutnya seluruh jajaran kepimpinan UMNO mengambil pendirian dan ketetapan seperti mana yang ditunjukkan oleh 31 orang Ahli Parlimen tersebut.

“Ini kerana ketetapan dan pendirian mereka adalah secara jelas, terang dan bersuluh sangat sinonim dengan asas dan tujuan penubuhan UMNO. Semangat pembentukan UMNO adalah untuk membela rakyat, agama dan tanahair,” katanya lagi.

Gerakan Ketua Bahagian tersebut akan mendesak supaya pemilihan segera diadakan bagi mengelak parti tersebut dikenakan tindakan dan Zahid tidak ada pilihan selain memastikan pemilihan parti dalam dijalankan tanpa memberi sebarang alasan lain lagi.

Zahid kini kini sudah hilang kepercayaan apabila Ahli-Ahli Parlimen (MP) BN enggan mengikut telunjuknya menarik sokongan terhadap kerajaan PN, malah Menteri dan Timbalan Menteri juga tidak mahu meletak jawatan mereka.

Semalam, seramai 31 MP BN membuat pendirian untuk kekal bersama kerajaan PN sehingga keabsahan ditentukan semasa sidang Parlimen pada September depan, ia walaupun Zahid mendesak supaya Menteri dan Timbalan Menteri meletak jawatan mereka.

Terdahulu, RoS juga memutuskan sema jawatan dalam MT UMNO tidak lagi sah selepas tempoh penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021 lalu dan perlu mengadakan pemilihan dengan segera.

Untuk rekod terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu pada peringkat cawangan sebanyak 21,135 mesyuarat; Wanita (21,058 mesyuarat); Pemuda (15,496 mesyuarat); dan Puteri (8,598 mesyuarat).

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri, yang semuanya mesti dijalankan secara serentak.

Sumber | AD




No comments: