SAMA ADA SEKARANG ATAU SEPTEMBER, MAHIADDIN TETAP TIADA ANGKA

 

Melalui surat dan dokumen yang didedahkan oleh laman web rasmi UMNO hari ini, dibuktikan untuk pengetahuan umum bahawa seramai 14 Ahli Parlimen UMNO sah telah menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin.

Penarikan sokongan itu dipersembahkan melalui warkah yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong.

Mereka menandatangani surat penarikan sokongan itu ialah:-

⁃ Najib Razak (Pekan)

⁃ Azalina Othman Said (Pengerang)

⁃ Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)

⁃ Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)

⁃ Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)

⁃ Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)

⁃ Ramli Mohd Nor (Tanah Tinggi Cameron)

⁃ Ahmad Maslan (Pontian)

⁃ Mohd Nizar Zakaria (Parit)

⁃ Noh Omar (Tanjong Karang)

⁃ Azeez Abdul Rahim (Baling)

⁃ Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong)

⁃ Bung Moktar Radin (Kinabatangan)

⁃ Mohamad Alamin (Kimanis)

Termasuk Norani Ahmad yang telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, jumlahnya kini menjadi 15 orang.

Berdasarkan kiraan kasar jumlah sokongan yang dimiliki Mahiaddin ketika mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 dahulu sebanyak 114, ini bererti jumlah sokongan yang tinggal bersamanya sekarang hanyalah 99 Ahli Parlimen saja.

Ditolak lagi dengan Ahli Parlimen Gerik yang telah meninggal dunia, maknanya hanya tinggal 98 orang yang masih menyokong Mahiaddin dan kerajaan PN.

Bererti juga, daripada 220 Ahli Parlimen yang ada sekarang, dengan hanya 98 bersama Mahiddin, seramai 122 orang adalah penentangnya yang terdiri daripada blok pembangkang dan UMNO yang pro kepada Zahid Hamidi.

Kesimpulan mudahnya, sama ada sekarang atau menunggu sehingga September nanti di mana usul percaya telah dipersetuju oleh Perdana Menteri untuk dibentangkan terhadapnya, kedudukan Mahiaddin sudah sah tidak cukup angka.

Apa yang Mahiaddin mahu tunggu lagi?

Daripada mana beliau mahu menampung kekurangan itu menjelang September nanti?

Apakah ada Ahli-Ahli Parlimen yang sedia melompat menjadi katak mengalih sokongan kepada kerajaan yang hampir pasti akan tumbang?

Cukupkah dua tiga guni wang sebagai penambat hati?

Jika begitu, bukankah lebih baik, demi untuk kebaikan negara, kiranya beliau sedia mengibar saja bendera putih dan meletak jawatan lebih awal tanpa menunggu dirinya dijatuhkan pada September nanti?

September atau sekarang – keputusannya tetap sama, hanya tarikh saja yang berbeza.

Atau apakah dalam hal ini penasihat khas yang pernah hilang majoriti yang baru dilantik dengan kedudukan bertaraf menteri ada keajaiban luar biasa untuk menasihati Perdana Perdana dan mengelakkannya daripada kalah undi? 


(ShahbudinHusin 09/08/2021)



No comments: