Bersih seru Umno sokong pembaharuan lantikan GLC

 

Bersih bimbang kekosongan jawatan pengerusi GLC yang ditinggalkan pemimpin Umno akan digunakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan.

PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya, Bersih menyeru Umno dan semua parti politik lain supaya menuntut dan menyokong pembaharuan pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tidak dimanipulasi oleh kerajaan sebagai alat politik.

Bersih dalam kenyataan berkata, pembaharuan itu akan menjamin GLC dikendalikan oleh calon berkelayakan, profesional dan kompeten yang akan menempa kecemerlangan serta bekerja untuk kepentingan awam.

“Salah guna GLC dan amalan naungan politik membiakkan kronisme dan korupsi dan sering kali menjejaskan keberkesanan GLC dengan pelantikan yang dibuat bukan berasaskan merit, seperti pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana,” katanya dalam kenyataan.

Bersih yang turut mengalu-alukan peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno baru-baru ini, antaranya Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Razlan Rafii, menyatakan kebimbangan kekosongan jawatan tersebut akan digunakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan.

Justeru, Bersih menggesa kerajaan PN berhenti menggunakan jawatan dalam kerajaan sebagai alat politik untuk mengukuhkan kuasa dan menarik sokongan, sambil mengingatkan bahawa tindakan tersebut memberi kesan buruk terhadap kestabilan politik Malaysia.

Sebaliknya kata badan itu, langkah memperkenalkan undang-undang berkaitan pelantikan dalam GLC yang akan membolehkan penilaian dwipartisan terhadap calon dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen selain menghalang pemimpin politik daripada memegang jawatan di dalamnya.

“Undang-undang GLC yang baharu adalah perlu untuk melarang wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau ADUN daripada dilantik ke dalam GLC bagi mencegah konflik kepentingan antara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

“Undang-undang ini juga perlu memastikan semua GLC untuk lebih terbuka dan mendedahkan maklumat penting antara lain seperti pelantikan pengerusi, pengarah dan gaji mereka melalui laporan berkala.” katanya.

No comments: