Memang tidak dinafikan ramai yang bersorak dengan berita
pemecatan Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatannnya sebagai Pengerusi
Prasarana Bhd baru-baru ini.
Tindakannya cuba bergurau secara berlebihan dalam sidang media
berkaitan tragedi perlanggaran tren LRT bukan saja dilihat tidak wajar, malah
dianggap mengarut.
Beliau seolah-olah tiada rasa simpati terhadap mangsa tragedi
dan dengan itu disifatkan sebagai gagal sebagai peneraju Prasarana.
Tetapi, jika sikap Tajuddin yang mengarut dan dianggap gagal itu
merupakan asas pemecatannya, kerajaan tidak seharusnya berhenti setakat ini
saja.
Ramai lagi yang lebih mengarut daripada Tajuddin harus juga
diambil tindakan pecat yang sama.
Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba sejak awal perlantikannya lagi
sudah pun menunjukkan ciri-ciri mengarut dengan mencadangkan minum air suam
untuk membunuh virus Covid19.
Petuanya itu kemudian disanggah oleh hampir semua doktor dan
pakar kesihatan, malah oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri, Dr. Noor Hisham
Abdullah.
Beliau seterusnya mengarut lagi dengan mengatakan negeri di
Malaysia ada 15 buah dan jumlah negara di seluruh dunia adalah 500 semuanya.
Kalau mahu dibandingkan antara Tajuddin dengan Dr. Adham,
siapakah yang lebih mengarut?
Menteri Agama, Dr. Zulkifli al-Bakri tidak kurang mengarutnya
kerana didapati beberapa kali melanggar SOP PKP serta menjadi kecaman ramai
berdasarkan gambar-gambarnya yang tular di media sosial.
Sebagai Menteri Agama yang sepatutnya menjaga soal dasar
berkaitan kemajuan Islam di negara ini, Dr. Zulkifli juga dianggap mengarut
kenapa lebih ghairah menikahkan selebriti dan menghadiri majlis tahnik anak
artis ternama.
Perlakuannya itu membuatkan ramai yang menggelarkannya sebagai
Menteri Nikah Kahwin sebagaimana watak yang pernah ditampilkan oleh Allahyarham
Seniman P. Ramlee dalam filem Musang Berjanggut.
Selain itu, dengan telah didenda sebanyak RM2000 kerana
melanggar SOP, ini dengan jelas membuktikan Dr. Zulkifli memang melakukan kerja
yang mengarut, bukan saja atas kedudukannya sebagai menteri, bahkan atas
perlakuan tidak menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan
di mana beliau adalah salah seorang anggota kabinetnya.
Seorang lagi menteri yang dianggap mengarut di mata rakyat ialah
Khairy Jamaluddin yang tidak kurang dilihat gagal dalam soal menguruskan
pemberian vaksin .
Dengan peruntukan RM5 bilion yang disediakan daripada ambilan
dana amanah KWAN, tetapi pemberian vaksin masih berdepan banyak masalah serta
lambat berbanding bagaimana negara-negara lain menguruskannya, ini juga
diperkatakan ramai sebagai mengarut dan suatu kegagalan yang tidak boleh
diterima.
Haruslah diingat bahawa pemberian vaksin ini sepatutnya mesti
diuruskan dengan telus dan cekap, tetapi mudah kerana pertaruhannya adalah 32
juta nyawa rakyat Malaysia.
Kalau mahu dianalisa satu persatu, sebenarnya ramai lagi
menteri, timbalan menteri dan peneraju GLC yang lebih kurang mengarut juga
perangai mereka dalam kerajaan pintu belakang yang tiada keabsahan ini.
Namun, tentulah yang paling banyak sekali mengarut ialah Perdana
Menteri sendiri, Mahiaddin Md Yasin yang hari-hari menjadi bahan persendaan dan
kebencian rakyat dalam memguruskan negara ini.
Selain mengarut dan gagal menguruskan negara ketika pandemik
dengan beberapa perlaksanaan PKP yang entah bila ada kesudahannya, tahap
mengarut beliau paling teruk sekali ialah apabila mencadangkan darurat
dilaksanakan untuk memerangi Covid19.
Dengan fakta bahawa sebelum darurat angka Covid19 hanya sekitar
2000 kes sehari tetapi melonjak melebihi 7000 kes sehari setelah darurat
dikuatkuasakan, tidakkah ini namanya mengarut kelas paling istimewa sekali yang
tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin di dunia ini?
Sebab itu, sementara ramai yang bersorak dengan pemecatan
Tajuddin, rakyat negara ini sebenarnya belum cukup gembira dengan tindakan
setakat itu saja.
Sekurang-kurangnya jika tiada lagi tiga menteri mengarut
sebagaimana disebut diatas, lebih-lebih lagi kalau Mahiaddin turut sama dapat
disingkirkan, itulah sebenarnya paling menggembirakan sekali buat rakyat
Malaysia.
Tiadanya lagi mereka itu pasti membuatkan ramai akan mengadakan
kenduri kesyukuran bersama pulut kuning atau berduyun-duyun bersedekah pisang
ke masjid-masjid pada hari Jumaat.
Kalau mahu dibuat perbandingan, kegembiraan rakyat dengan
pemecatan tiga menteri itu, terutamanya Mahiaddin, adalah umpama orang miskin
menang loteri atau ketika lelaki takut bini mendapat khabar diberi keizinan
untuk kahwin satu lagi (ShahbudinHusin 28/05/2021)