Pelik! Timbalan menteri UMNO kempen Orang Asli undi PN pada PRU akan datang

Pelik! Timbalan menteri UMNO kempen Orang Asli undi PN pada PRU akan datang

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin meminta masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan agar mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Berucap di hadapan sekumpulan masyarakat Orang Asli di Ulu Beranang semalam, Zahidi mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengabaikan Orang Asli dan masyarakat luar bandar termasuk tidak memberikan peruntukan kepada mereka.

“Sebab orang luar bandar ni sentiasa dijaga terutama oleh orang yang jadi wakil rakyat BN. Dulu-dulu Datuk Zakaria, dia (wakil rakyat)BN, dia jaga sebab tu saya tengok banyak kawasan Orang Asli hebat. Kerajaan BN kerajaan dulu, sekarang kerajaan Pakatan Nasional.

“Kerajaan Pakatan Nasional ni dia tak macam kerajaan Pakatan Harapan. Masa PH bajet luar bandar kosong. Bajet untuk Orang Asli dan luar bandar kosong, rendah. Sebab apa? Sebab orang luar bandar ni menyokong kerajaan banyak.

“BN dan Pakatan Nasional, orang Pakatan Harapan dia tak sokong. PH bandar saja. 50 kerusi yang menang di bandar saja,” kata pemimpin Umno itu dalam rakaman yang dilihat Malaysiakini.

Timbalan menteri itu menghadiri program Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli” yang diadakan di Kampung Orang Asli Jeram Kedah di Seremban.

Difahamkan Zahidi tersasul menyebut ‘Pakatan Nasional’ yang sebenarnya merujuk kepada pentadbiran kerajaan PN sekarang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata BN dan PN tidak pernah mengabaikan kawasan luar bandar dalam peruntukan belanjawan tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

“Walaupun kawasan tu kawasan DAP tapi kalau ada orang luar bandar dia akan bagi (peruntukan), sebab tu kita masa pemerintahan kita dulu luar bandar bajetnya antara tertinggi

“Bajet untuk Risda, masa saya Risda kerajaan bagi RM165 juta, suruh bagi duit one off kepada orang luar bandar yang ada hutang dan sebagainya. Ha, ini hebat, berbeza. Jadi tuan-tuan, kalau ada pilihan raya pula, sokong PN, bukan PH,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Rina Harun dan R Sivarasa, yang merupakan menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab bagi pembangunan luar bandar semasa pentadbiran Pakatan Harapan, untuk mendapatkan komen mereka mengenai dakwaan Zahidi.

Permintaan untuk mendapatkan respons juga telah dihantar kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy.

Untuk rekod, selama 22 bulan PH menjadi kerajaan persekutuan, portfolio untuk hal ehwal luar bandar dan Orang Asli dibahagikan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perdana Menteri.

Semakan di laman web Kementerian Kewangan mendapati kerajaan telah memperuntukkan lebih RM5.4 bilion perbelanjaan pembangunan untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2019 dan RM5.2 bilion untuk tahun 2020.

Untuk Orang Asli, sejumlah RM111 juta diperuntukkan untuk Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) pada tahun 2019 dan RM113 juta pada tahun 2020..





No comments: