GESAAN SEGERAKAN PEMILIHAN – UNTUK UMNO BENAR2 KEMBALI BERKUASA ATAU SUPAYA PARTI MUDAH DIGADAI KEPADA MAHIADDIN?


Berikutan gesaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin agar pemilihan UMNO tahun ini disegerakan dan diadakan sebelum PRU15, ramai yang terikut ghairah menambah garam dan gula bagi memeriahkan lagi saranan tersebut.

Lebih-lebih lagi, KJ yang tewas dalam pemilihan 2018 lalu, turut mengocak hati dan perasaan mereka yang anti Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dengan kata-kata – UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat.

Terutama Annuar Musa yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung BN, beliau paling awal memberi respon dengan mengatakan pemilihan harus diadakan pada Jun tahun ini juga.

Ini kerana, kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, Jun ini cukup tiga tahun tempohnya selepas pemilihan yang lalu diadakan pada Jun 2018.

Logik dan wajarkah gesaan menyegerakan pemilihan UMNO?

Kecuali jika ini memperlihatkan KJ tidak sabar untuk bertanding sekali lagi sebagai Presiden UMNO,sebetulnya agak pelik dengan gesaan tersebut, selain kerana beliau hanya melontarkannya sebaik saja kPAU2020 memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dan ketetapan Ahli-Ahli Parlimen UMNO akan keluar daripada kerajaan PN menjelang 1 Ogos, alasannya bahawa parti memerlukan pemimpin yang mempunyai mandat yang jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat juga ternampak tidak berfakta.

Bagaimana untuk mengatakan Zahid Hamidi yang menang jawatan Presiden UMNO dengan 99 undi bahagian-bahagian menewaskan KJ sendiri yang mendapat 61 undi dan Ku Li 30 undi, sebagai tidak mempunyai mandat yang jelas?

Dengan hakikat bahawa jika undi KJ dan Ku Li dicampurkan pun tidak mampu mengatasi undi Zahid Hamidi, tidakkah ini bermakna mandat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam menerajui UMNO tersangat jelas?

Di samping itu, dengan calon UMNO berjaya memenangi banyak PRK sebelum ini, bukankah ia menunjukkan kepimpinan UMNO sedia ada telah mendapat sokongan rakyat?

Isyarat bagaimana lagi yang KJ mahukan?

Berkenaan kenyataan Annuar, memang benar pemilihan UMNO yang lepas diadakan pada Jun 2018 dan sepatutnya Jun 2021 ini diadakan pemilihan yang berikutnya.

Tetapi, berikutan pandemik Covid19, PAU2020 telah tertangguh sehingga ia baru saja diadakan pada 27 dan 28 Mac 2021 yang lalu.

Dalam hal ini, bagaimana untuk mengadakan PAU2021 beserta pemilihan pucuk pimpinan pada Jun, sedangkan PAU2020 baru saja berakhir?

Sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar tentunya arif bahawa sebelum pemilihan di peringkat pusat, pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian mesti diadakan terlebih dahulu.

Oleh kerana sekarang sudah bulan April dan tidak lama lagi umat Islam menyambut puasa dan kemudian Hari Raya Aidil Fitri, bagaimana untuk menyelesaikan pemilihan cawangan dan bahagian dalam tempoh tidak sampai dua bulan, serentak dengan puasa dan raya, bagi membolehkan pemilihan diadakan pada Jun?

Untuk itu, oleh kerana tempoh yang munasabah untuk cawangan mengadakan persidangan tahunan ialah dirasakan sekitar Jun dan Julai, seterusnya mesyuarat perwakilan bahagian pada September atau Oktober, maka tarikh yang logik untuk PAU2021 ialah sama ada November atau Disember tahun ini.

Walaupun UMNO ada peruntukan untuk menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan, namun oleh kerana Zahid Hamidi sendiri pernah berjanji tidak akan berbuat demikian, mahu tidak mahu, pemilihan hampir pasti akan diadakan sebelum berakhirnya tahun 2021 ini.

Cuma, bersabar dan bertenanglah sikit.

Sedemikian, jika PRU15 diadakan sebelum sekitar Ogos sebaik UMNO membuat ketetapan menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan, ia hampir pasti akan dihadapi oleh barisan kepimpinan UMNO yang sedia ada.

Zahid Hamidi bukan saja akan mengetuai UMNO dan BN menghadapi PRU15, malah beliau jugalah nanti yang akan menandatangani watikah calon, termasuk kepada KJ dan Annuar.

Yang menjadi persoalan besar, mengapa KJ dan Annuar begitu ghairah mahu pemilihan UMNO disegerakan dan mesti diadakan pada Jun?

Adakah ia untuk memastikan UMNO ada barisan kepimpinan baru bagi menghadapi PRU15 yang kononnya lebih diterima rakyat dan barisan kepimpinan baru yang dimaksudkan itu ialah mereka daripada kalangan kluster menteri semuanya?

Jika kluster menteri yang akan menerajui UMNO, apakah UMNO akan kekal dengan keputusan putus hubungan sedia ada dengan Bersatu sebagaimana itulah kehendak akar umbi yang diluluskan melalui usul bahagian-bahagian sebelum ini?

Atau akhirnya dengan kepimpinan baru, masa depan UMNO lebih mudah digadai kepada Bersatu dan Mahiaddin Md Yasin bagi membolehkannya kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Selepas itu, apa agaknya nasib UMNO? 

(Shahbudindotcom 04/04/2021)






No comments: