ZAHID PUJI ZAFRUL, NAMUN TETAP DESAK SOAL KWSP DAN LANJUTAN AUTOMATIK MORATORIUM

 

Zahid puji Tengku Zafrul temui semua pihak bincang Belanjawan 2021

Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi berkata, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan belanjawan yang baik.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi memuji pendekatan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berunding dengan semua pihak, termasuk pembangkang bagi mendapatkan pandangan untuk Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Zafrul bukan maksum dan sudah pasti terdapat kekurangan dalam merencana belanjawan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada menteri kewangan yang pada hemat saya telah membentangkan belanjawan yang baik.

“Biarpun bukan orang politik, namun sebagai ahli profesional dalam bidang perbankan dan korporat, beliau dengan segera memahami keperluan politik dan kesengsaraan rakyat.

“Semua ahli di dewan yang mulia ini sedia memahaminya. Namun menteri kewangan telah melakukan ‘engagement’ bersama ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang.

“Sikap yang terpuji ini harus diakui oleh kita semua. Ini merupakan keterbukaan yang amat kita alu-alukan, malah beberapa ‘adjustment’, saya yakin akan terus dilakukan untuk melihat ekonomi negara akan keluar daripada perangkap kepayahan yang luar biasa sekarang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 hari ini.

Zahid juga meminta kerajaan membuat beberapa pindaan kepada belanjawan yang dibentangkan, termasuk melanjutan moratarium pinjaman secara automatik bagi menjaga kebajikan rakyat.

Beliau juga bersetuju dengan pencelahan Ahmad Maslan (BN- Pontian) berhubung had pengeluaran terbaru KWSP, dengan kadarnya perlu diubah seperti yang disarankan oleh ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

Zahid berkata, Zafrul semalam berdialog dengan pimpinan KWSP dan beberapa pengubahsuain dilakukan, yang dipercayai sesuai dengan saranan bekas perdana menteri itu sebelum itu.

Terdahulu ketika berucap Najib berkata, sokongan parti itu terhadap Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.

Beliau berkata, syarat yang dikemukakan oleh BN ialah kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Dalam pada itu, Zahid juga menggesa menteri kewangan supaya memberi perhatian kepada rakyat yang terkesan oleh Covid-19 seperti pengusaha bas persiaran, bas sekolah, termasuk bas pelancongan.

Katanya, perhatian juga perlu diberi kepada mereka yang membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman berlesen yang tidak diberikan moratorium pinjaman.

“Bagaimana pula dengan moratorium kepada penyewa premis perniagaan di bawah GLC dan badan-badan kerajaan?

“Begitu juga rumah PPR, rumah murah, rumah mampu milik yang tidak diberikan moratorium. Mereka merupakan rakyat marhaen yang perlu diberi pembelaan oleh kerajaan.

“Bagaimana pula penyewa premis perniagaan? Malah GLC yang menyewakan premis perniagaan tidak memberi moratorium kepada penyewa terbabit.

“Kerajaan wajib lakukan rancangan pemulihan ekonomi kerana rakyat mahu bukan sahaja diberikan ikan, tetapi kail. Kail inilah yang diharapkan oleh kumpulan B40 M40 dan jangan lupa T20 yang banyak menyumbang.”

No comments: