Hasrat terpendam hati Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan
darurat terlaksana juga akhirnya setelah cadangan kerajaan berkaitan perkara
tersebut telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong semalam.
Begitu pun, tidak seperti cadangan asal yang tolak oleh Agong
sebelum ini, darurat yang dibenarkan ini hanya untuk menangguhkan PRK Batu Sapi
saja.
Berbeza dengan rancangan asalnya, darurat yang ditolak itu
adalah untuk menggantung Parlimen, menangguhkan pembentangan Belanjawan 2021
dan memastikan beliau kekal berkuasa tanpa kemungkinan dijatuhkan melalui
pengundian belanjawan ditolak di Parlimen.
Dalam hal tersebut, majoriti rakyat menjunjung kasih atas
kebijaksaan dan keprihatinan Agong lantaran menolak cadangan Muhyiddin itu.
Dengan penolakan itu, demokrasi terus subur, Parlimen berjalan
seperti biasa dan Belanjawan 2021 bukan saja terpaksa dibentangkan, malah harus
juga melalui proses pengundian.
Kalau menang undian belanjawan, bolehlah Muhyiddin terus kekal,
tetapi jika tewas, terpaksalah berundur secara terhormat.
Meski demikian, dengan darurat di Batu Sapi dibenarkan,
Muhyiddin malam tadi terlihat seolah-olah puas hati dapat muncul lagi di kaca
TV melalui perutusan khas memperincikan perkara tersebut, walaupun rata-rata
rakyat sudah makin benci dan tidak mahu lagi menonton wajahnya.
Realitinya, tidak sukar memahami bahawa darurat di Batu Sapi
lebih kerana keghairahan Muhyiddin untuk mengekalkan kuasa politiknya
semata-mata.
Ini berikutan, kerusi tersebut dimenangi Warisan pada PRU14 lalu
dan dalam keadaan Covid19 yang belum pulih sekarang ini, hampir semua parti,
kecuali Bersatu, telah menyatakan persetujuan untuk tidak meletakkan calon dan
memberi kemenangan percuma kepada Warisan pada PRK Batu Sapi yang telah
ditetapkan 5 Disember depan.
PH, BN, PBS, SAPP dan STAR adalah antara parti yang telah
menyatakan komitmen untuk tidak bertanding dalam PRK tersebut.
Hanya Bersatu yang sehingga ini menangguh-nangguh pengumuman
sama ada mahu meletakkan calon atau tidak.
Tetapi, dengan darurat dicadangkan untuk perkenan Agong semalam,
nyatalah bahawa Bersatu memang mahu meletakkan calonnya di Batu Sapi.
Nampaknya Muhyiddin telah menunjukkan kerakusannya dengan
sanggup menggunakan darurat untuk kepentingan politik kuasa dan kepartiannya.
Kenapa Bersatu tidak boleh bertolak ansur dan berkorban dengan
sama-sama seperti parti lain tidak meletakkan calon serta membiarkan saja
Warisan menang tanpa bertanding?
Bukankah jika tiada mana-mana parti yang bertanding, kalau ada
pun mungkin hanya calon Bebas yang terpencil akan meletakkan calon, PRK Batu
Sapi tetap boleh diteruskan dengan cuma risiko kecil kepada penyebaran Covid19
akan berlaku?
Apakah kerana majoriti hanya satu undi yang dimiliki PN di
Parlimen sekarang membuatkan Muhyiddin begitu ghairah mahu merampas Batu Sapi
dalam PRK yang bakal diadakan selepas Covid19 mereda nanti?
Jika begitu, di mana sebenarnya hati budi dan keprihatinan
Muhyiddin sebagai ketua kerajaan yang dalam kata-katanya selalu mengatakan
beliau adalah seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat dan tidak suka
berpolitik di musim Covid19?
Hipokritnya – dalam bermulut manis konon tidak suka berpolitik,
diselit pula dengan doa yang diulang-ulang, rupa-rupanya setiap nafas Muhyiddin
adalah nafas politik belaka.
Sama seperti darurat asal yang ditolak Agong di mana kepercayaan
rakyat ia adalah bermotif politik, darurat di Batu Sapi ini juga tidak terlepas
daripada niat dan kepentingannya untuk politik.
Namun, sementara menunggu PRK Batu Sapi diadakan kemudian,
tiba-ada Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman pula meninggal dunia yang
menjadikan undian lagi berkurang dan BNBBC yang diterajui Najib Razak tetap
dengan tuntutan kebenaran pengeluaran wang KWSP dan moratorium wajib enam bulan
lagi sebagai syarat untuk menyokong Belanjawan 2021, darurat di Batu Sapi ini
sepertinya tidak memberi banyak makna pun kepada Muhyiddin.
Belanjawan 2021 lebih mungkin ditolak dan Muhyiddin bakal dijatuhkan sebelum sempat PRK Batu Sapi diadakan.
(Shahbudindotcom 19/11/2020)