PAC sahkan wujud konflik kepentingan dalam struktur, amalan sedia ada YWP

 

Beberapa ahli Parlimen Kuala Lumpur hari ini menggesa pembubaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen semalam berhubung transaksi tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Laporan PAC semalam antaranya merumuskan bahawa pengurusan YWP terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam YWP yang mempunyai urusan pembelian tanah dengan DBKL.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, dalam laporan PAC, jelas mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengaudit akaun urusan YWP kerana yayasan tersebut berdaftar di bawah Akta Syarikat.

“Apa peranan YWP? Tiga yang peranan utama. Satu, sewa atau jual billboard besar di tepi jalan. Kedua, jual tanah kerajaan tanpa tender dan ketiga jual atau sewa petak letak kenderaan.

“Ini semua adalah aset harta kerajaan kenapa hendak bagi satu syarikat yang berdaftar uruskan?” soalnya dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir, antaranya, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Media semalam melaporkan kenyataan PAC bahawa kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL yang telah terjual sejak tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata berdasarkan prosiding dijalankan pihaknya, PAC mendapati proses itu terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Lip Eng berkata, sekiranya kerajaan mahu membuat kerja kebajikan menerusi YWP, beliau berpendapat, ianya boleh dilaksanakan oleh Kementerian pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL boleh mewujudkan satu jabatan khas untuk menguruskan kebajikan komuniti.

“Tidak ada logik langsung bagi satu Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menjual tanah, menjual iklan besar di tepi jalan dan menjual sewa letak kenderaan kepada orang awam,” ujarnya.

Sementara itu, Hannah berkata, struktur sedia ada seperti Yayasan Kebajikan Negara di bawah seliaan KPWKM juga membuat kebajikan di Kuala Lumpur.

“Saya rasa tidak sesuai kalau YWP menggunakan nama kebajikan dan buat transaksi yang ada ‘commercial nature’,” katanya. 



No comments: