Kerajaan PN perlu bantu selamatkan mata pencarian rakyat Malaysia

 

Oleh Aziera NH

Tanpa kita sedar, sudah setahun pandemik Covid-19 berada dalam komuniti penduduk dunia. Ia telah memberi kesan yang besar kepada dunia, tidak terkecuali Malaysia.

Malaysia kini berdepan dengan gelombang ketiga wabak ini dengan peningkatan kes positif harian yang mencecah empat angka.

Semakin hari semakin ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik ini. Ada yang diarahkan bercuti tanpa gaji, ada yang dipotong separuh gaji dan yang paling menyedihkan ialah golongan yang diberhentikan kerja.

Berdasarkan unjuran dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 2.4 juta rakyat Malaysia dijangka bakal kehilagan pekerjaan dan lebih 1.6 juta rakyat dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang, kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Oleh yang demikian, peranan kerajaan adalah sangat penting dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam berdepan dengan krisis kesihatan ini. Namun, rata-rata rakyat nampaknya kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia apabila mereka gagal menyambung moratorium pinjaman bank secara automatik sepertimana yang telah dilakukan dari bulan April hingga September lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, lanjutan moratorium selama enam bulan lagi adalah perlu kerana rakyat sedang menderita.

“Ini semua adalah demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Kerajaan PN sekarang adalah membuat moratorium secara bersasar yang hanya membantu 645,000 peminjam, iaitu hanya 8% daripada 8 juta peminjam asal.

Ramai yang mengadu bahawa ini tidak memanfaatkan mereka, tetapi hanya memberi manfaat kepada institusi kewangan dengan hanya memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman, sehingga memerlukan pembayaran faedah yang lebih tinggi.

Belia khususnya merupakan individu yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19. Ramai antara mereka telah kehilangan pekerjaan. Ramai telah terputus talian kewangan namun masih perlu menanggung perbelanjaan-perbelanjaan bulanan. Ada yang telah memulakan perniagaan sendiri. Namun dengan kuasa beli yang sedang jatuh dengan drastik, apakah nasib mereka?

Moratorium ini sangat penting bagi membantu rakyat menstabilkan kewangan untuk bangkit semula ketika fasa Covid-19 ini. Bayaran pinjaman kereta, rumah dan lain-lain perkara perlu ditangguhkan seketika sementara keadaan ekonomi kembali stabil.

Bukan itu sahaja, Kerajaan PN juga perlu pastikan aspek peluang pekerjaan diusahakan dalam Belanjawan 2021 ini. Kerajaan perlu mencari alternatif untuk industri terus memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Penguncupan KDNK 17.1% pada suku kedua tahun ini berserta kenyataan oleh Menteri Sumber Manusia bahawa 1 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur menjelang September 2020 telah menunjukkan krisis ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Oleh itu, DAP telah mencadangkan agar Kerajaan PN perlu melaksanakan segera kenaikan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri pada 30 Ogos 2020 di Sandakan. Ini akan menyediakan jaringan keselamatan segera bagi pekerja yang menganggur. 

Selain itu, dalam usaha untuk membantu lebih 500,000 belia yang menganggur, DAP juga telah mencadangkan insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun, di bawah program MalaysiaKerja iaitu pemberian bantuan RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan. Ini adalah untuk mendorong majikan untuk mengambil pekerja tempatan dan sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran negara.

Kesimpulannya, kerajaan perlu bersetuju dengan syarat yang dikemukakan pembangkang berkaitan Belanjawan 2021 ini kerana ia adalah demi kepentingan rakyat. Kerajaan perlu ingat, fokus Belanjawan Perpaduan 2021 adalah untuk menyelamatkan pekerjaan,mata pencarian dan perniagaan rakyat Malaysia.