Setiausaha Agung KEADILAN,
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada kerjasama rasmi dengan
Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Baru, namun menyeru
penyokongnya supaya mengundi calon KEADILAN.
Ini berikutan wujud khabar
angin yang mengatakan bahawa terdapat kerjasama antara KEADILAN dan USNO Baru
bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Saifuddin berkata, walaupun
KEADILAN tidak mempunyai kerjasama rasmi dengan USNO Baru, para pemimpin dari
kedua-dua parti itu mempunyai hubungan yang erat.
"Kalau ada hubungan dengan
USNO sekalipun, ia hanya hubungan peribadi antara pemimpin kami dengan mereka
yang ada sejarah, contohnya presidennya Pandikar Amin Mulia yang sudah lama
berkhidmat sebagai speaker.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim
juga kenal dan rapat dengan beliau, tetapi dalam konteks PRN Sabah, kami adalah
sekutu penting Warisan Plus," katanya ketika ditemui media.
Pada masa sama, Saifuddin
menafikan bahawa hubungan antara kedua-dua parti itu wujud kerana gagal
mendapatkan jumlah kerusi yang diinginkan sebelum ini.
"Tidak timbul sama sekali.
Kami dan Anwar berada dalam rundingan sehingga sebelum penamaan calon.
"Kerjasama penting antara
Warisan, DAP, UPKO dan Amanah. Sebagai sekutu penting fokus kami adalah
memenangkan calon-calon dibawah panji Warisan Plus.
"Kami beri komitmen dan
dokongan serta kerjasama dengan sekutu, jadi perkara ini tidak
berbangkit," katanya.
Namun beliau tetap menyeru
penyokong USNO Baru supaya mengundi calon KEADILAN.
Saifuddin berkata meskipun
calon dari kedua-dua parti itu bertembung pada PRN Sabah, beliau menganggap
setiap undi adalah penting.
"Saya seru penyolong USNO
supaya beri undi kepada calon KEADILAN di kawasan parti mereka tidak bertanding
dan beri sokongan kepada kita.
"Dalam kempen pilihan
raya, kita merayu orang, setiap undi adalah penting, tidak kira ada parti atau
tidak berparti, ataupun ahli USNO, UMNO, PBS dan STAR sekalipun, mereka bebas
memilih kerana undi adalah rahsia.
"Jadi saya ambil peluang
ini untuk meminta mereka sokong calon KEADILAN," katanya.