BEAUFORT - Calon KEADILAN bagi
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Abdul Rahman Yakub mengakui gemar
bersemuka dengan rakyat dari rumah ke rumah ketika berkempen pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, hampir semua
tempat di Klias sudah dilawati dan ternyata pendekatan itu memberikan kesan
apabila sepanjang berkempen, penerimaan pengundi cukup baik dan mendapat
sambutan yang memberangsangkan.
"Saya banyak menggunakan
kaedah rumah ke rumah untuk berjumpa dengan orang ramai. Ada juga saya pergi ke
kedai makan dan berjumpa dengan orang dari meja ke meja dan berbual sekejap.
"Saya fikir cara ini lebih
peribadi, sebab kalau pendekatan berceramah itu hanya bersifat satu hala iaitu
kita bercakap orang mendengar.
"Bukannya kaedah ceramah
itu tidak baik, tapi saya rasa pendekatan saya ada 'personal touch',"
katanya kepada Suara KEADILAN.
Rahman juga berpendapat
pendekatan pengundi ke pengundi adalah selari dengan SOP dalam menangani
COVID-19.
"Dalam keadaan wabak
COVID-19, susah untuk kita mengumpul orang. Ada syarat-syaratnya serta
melibatkan pematuhan penjarakan sosial.
"Sebab itu, cara bersemuka
dengan setiap pengundi lebih praktikal dan sesuai dalam masa-masa mencabar ini,
COVID-19 pun sedang meningkat di Sabah.
"Jadi apabila saya
perkenalkan diri, ia akan menjadi bualan orang, mereka akan sebut nama calon
dan akan jadi buah mulut sebelum hari mengundi.
"Tengok kepada gaya bahasa
dan badan pengundi, kebanyakannya menunjukkan sokongan yang baik,"
katanya.
Rahman merupakan satu-satunya
calon yang kembali bertanding di DUN Klias selepas bertanding kerusi itu pada
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Malah, KEADILAN sendiri kembali
bertanding di DUN Klias, selepas kerusi itu dipertandingkan oleh Warisan pada
PRU-14 namun tewas kepada penyandang, Isnin Aliasnih.
Rahman mengakui ia bukanlah
satu keputusan yang mudah setelah lama tidak bertanding sebagai calon.
Namun, pencalonan beliau
mendapat sokongan daripada Presiden Warisan sendiri, Datuk Seri Shafie Apdal.
"Terus-teranglah, saya
lebih suka membantu kawan-kawan menjadi calon. Tapi kali ini saya diminta
secara peribadi oleh kepimpinan Ketua Menteri Sabah supaya bertanding di DUN
Klias.
"Saya tidak pernah
bermimpi mahu menjadi calon lagi kerana kita fokus kepada perkara lain tetapi
bila diminta oleh Ketua Menteri dengan sebegitu rupa, saya harus menyahut
cabaran walaupun persiapan kurang serba-serbi.
"Sebenarnya, kita baru
mulakan persiapan awal dalam menghadapi pilihan raya, tiba-tiba persiapan awal
itu belum selesai sudah bubar dewan, jadi kita semua terperangkap dalam keadaan
tidak bersedia.
"Walaubagaimanapun, kita
hadapi apa pun masalah dan rintangan insya-Allah, mudah-mudahan kalau tuhan
izinkan tidak ada perkara mustahil. Persiapan kurang tetapi kemenangan itu
tidak mustahil," katanya.