Pabila kata-kata nista terpantul ke muka sendiri



Melayu ‘terbangsat’ jika UMNO hilang kuasa, kata Najib Razak hampir setengah dekad lalu. Kini, tampuk kuasa di Putrajaya bertukar tangan, Barisan Nasional (sebelum ini Parti Perikatan) yang diketuai UMNO hilang kuasa.

Setelah hampir dua tahun Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan, rakyat dapat melihat bahawa Raja-raja Melayu yang menjadi tunjang kepada negara masih bertahkta, Perlembagaan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasanya masih tetap dipertahankan. 

Justeru, di manakah duduk letaknya kebenaran momokkan Najib bahawa kononnya orang Melayu akan ‘terbangsat’ jika UMNO hilang kuasa?

Jika benar sekalipun, bukan orang Melayu yang ‘terbangsat’, sebaliknya pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan dan membela nasib kaum itulah sebenarnya ‘terbangsat’.

Apa tidaknya, satu-satu pemimpin UMNO diheret ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Kerajaan PH terus bela orang Melayu

Mengheret pemimpin-pemimpin yang didakwa melakukan rasuah melibatkan skandal mega 1MDB antaranya, merupakan salah satu janji Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 9 Mei yang lalu.
 
Usaha ini dilakukan demi mengembalikan maruah institusi negara yang telah dirosakkan oleh pentadbiran BN-UMNO dan seterusnya membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat. 

Institusi-institusi yang dekat dengan jiwa orang Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda dan MARA terus maju di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang mengamalkan pentadbiran yang bersih, cekap serta bebas daripada unsur penyelewengan. 




Hasilnya, kerugian yang diwarisi daripada pentadbiran dahulu dapat diatasi dengan cemerlang. Keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi berkenaan semakin beransur-ansur pulih. Rakyat mula meletakkan kepercayaan terhadap Pakatan Harapan.

Keyakinan ini ditambah dengan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat tahun lalu, khususnya yang menyentuh peruntukan yang akan memanfaatkan orang Melayu dan Islam. 

Sebagai contoh, peruntukan hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.2 bilion pada tahun 2019 kepada RM1.3 bilion pada tahun 2020. Malah, elaun guru KAFA dinaikkan kepada RM100 sebulan. Guan Eng turut mengumumkan bantuan khas secara one-off berjumlah RM500 kepada Imam, bilal, penjaga masjid dan guru takmir. 
Selain itu, bagi meningkatkan pemahaman masyarakat Melayu dan Islam terhadap inisiatif Rahmatan Lil-Alamin, Kementerian Kewangan turut memperuntukkan RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ini bertujuan untuk membangunkan pemahaman Maqasid Syariah melalui beberapa program pemerkasaan dan perbincangan. 

Semua ini adalah bukti jelas bahawa orang Melayu-Islam hari ini tidak ‘terbangsat’ seperti yang digambarkan Najib lima tahun dahulu. Ia hanya cerita khayalan yang direka bekas perdana menteri itu untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan meredakan kemaraan pembangkang pada waktu itu.
 
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Sorotan terhadap peruntukan membabitkan orang Melayu dan Islam bukan bermakna nasib dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini dipinggirkan. 

Kerajaan Pakatan Harapan komited menjaga dan memelihara kepentingan semua kaum. Hasrat ini ditunjukkan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dibawa kerajaan. 

Menerusi kerangka hala tuju negara ini, kerajaan Pakatan Harapan bermatlamat untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan wilayah, pada 2030. 

Kerajaan Pakatan Harapan ingin mencapai tiga objektif utama menerusi wawasan tersebut. Pertama, menstruktur semula ekonomi supaya menjadi lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat. 

Kedua, kerajaan juga komited menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan. 

Ketiga, Pakatan Harapan juga mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia. 

Impian wawasan ini disimpulkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada perasmiannya sebagai “amanah pada kita hari ini dan hadiah dan milik anak cucu kita di masa hadapan”. 

Inilah landasan yang akan digunakan kerajaan Pakatan Harapan bagi memandu negara ke arah kegemilangan sepanjang dekad-dekad akan datang. 

Usaha ini beransur-ansur akan meredakan dan sekaligus menenggelamkan momokkan Najib dan pengikutnya – kerana yang ‘terbangsat’ dulu, kini dan selamanya tidak lain dan tidak bukan adalah pemimpin UMNO serta konco-konconya yang korup dan menyeleweng. 

Imej mungkin mengandungi: 15 orang, termasuk Meli Ketitir, orang senyum

No comments: