Bagi mereka yang lama bersama dengan PH atau setidak-tidaknya mengikuti perjuangannya yang sebelum ini dikenali sebagai PR dan bukan hanya “melompat katak” setelah BN tumbang, tentu sedar bahawa Anwar Ibrahim adalah pilihan tunggal Perdana Menteri bagi gabungan itu.
Anwar diletakkan bagi jawatan itu bukan saja kerana kemampuannya yang dikira layak mentadbir negara, malah beliaulah yang telah menyatu serta mengukuhkan parti-parti pembangkang di negara ini sejak 1998 lagi.
Anwar bersama PR hampir berjaya menumbangkan BN pada PRU 2013 di mana ketika itu, kerusi kemenangan BN selain berkurangan daripada 140 yang dimenangi pada 2008 kepada 133, tetapi juga hilang undi popular buat pertama kalinya.
Kehilangan undi popular itu dengan sendirinya mencerminkan keinginan rakyat untuk menolak BN dan memilih sebuah kerajaan baru.
Pada PRU14, Anwar tidak dapat bersama-sama dengan perjuangan PH yang diwujudkan untuk menggantikan PR berikutan Pas tidak lagi bersama kerana beliau berada dipenjara sejak 2015.
Tetapi, walaupun berada di penjara, perjuangan PH tidak pernah surut, tambahan lagi dengan isu skandal 1MDB kian membahang ketika itu dan Anwar sendiri sentiasa memainkan peranan mengukuhkan lagi gabungan itu daripada tirai besi di Sungai Buloh.
Banyak kenyataan dan serangan terhadap BN dilakukan Anwar ketika itu dan kepada rakyat yang ingin perubahan, meski berada di penjara, beliau tetap merupakan sandaran untuk membawa perubahan dan menyelamatkan negara ini.
Tidak hairan jika pada waktu itu nama Anwar tetap ditonjolkan sebagai bakal PM7 untuk menghadapi PRU14 kiranya BN berjaya ditumbangkan dan PH menjadi kerajaan.
Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir Mohamad yang berbalah dengan Najib Razak pada ketika itu sudah putus asa untuk menyingkirkan PM6 itu daripada takhta kuasa yang didudukinya.
Tun Mahathir kemudian bertindak keluar UMNO dan mula menyerang Najib daripada luar, tetapi oleh kerana menyedari melakukan serangan secara bersendirian tidak mungkin menghasilkan kejayaan, beliau mula berbaik-baik dengan para pemimpin PH dan seterusnya, tentu saja kerana tiada pilihan, mengambil langkah untuk berbaik semula dengan Anwar dengan tindakan awal mengunjunginya di mahkamah.
Ketika itu, wajah Tun Mahathir penuh dengan simpati dan pengharapan agar Anwar sedia menerimanya, selain mengharapkan kekejaman masa lalunya dapat dilupakan.
Anwar yang memang memiliki sifat pemaaf tahap tinggi menerima huluran salam tangan Tun Mahathir dengan hati yang terbuka dan sambil tersenyum kerana dalam jiwanya tersemat keinginan yang lebih tinggi untuk melihat negara ini dapat diselamatkan.
Bermula daripada detik itulah Tun Mahathir semakin diterima baik dalam PH, malah keluarga Anwar, khususnya Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah yang sebelumnya dilaporkan agak keberatan untuk berbaik semula dengan orang yang pernah membuatkan keluarganya sengsara, turut berubah dan lembut hati jadinya.
Tentulah perubahan sikap Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah itu kerana Anwar yang memujuk dan meyakinkannya.
Apabila Tun Mahathir akhirnya diterima sebagai calon Perdana Menteri bagi PH dan Anwar sebagai penggantinya, maksud tersirat dan kedudukan sebenar Tun Mahathitlr di sebalik perjanjian yang dipersetujui pada 7 Januari 2018 itu tidak diragui lagi hanyalah sebagai Perdana Menteri sementara saja.
Perdana Menteri sebenar PH adalah tetap Anwar yang diharapkan mendapat haknya setelah beliau dibebaskan daripada penjara, diberi pengampunan dan selepas menjadi Ahli Parlimen yang merupakan syarat utama untuk membolehkannya menjadi pengganti Tun Mahathir.
Atas kedudukan sebagai Perdana Menteri sementara, tempoh dua tahun bagi Tun Mahathir memegang jawatan itu adalah jangkamasa yang paling munasabah dan sebab itu apabila beliau berkali-kali menyatakan akan menyerahkan kuasanya dalam jangkamasa itu, para pemimpin PH tidak membantahnya dan tidak pernah sesiapa pula pada waktu itu tidak setuju dengannya.
Dikirakan tempoh dua tahun itu sudah memadai untuk Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum melakukan serah kuasa, bukan saja agar Anwar selepas itu ada masa sekitar tiga tahun untuk memimpin negara dan memperkenalkan idea-idea baru sebelum ketibaan PRU15, tetapi juga kerana logiknya Perdana Menteri sementara tidak sewajarnya memegang jawatan lebih lama berbanding Perdana Menteri yang sebenar.
Dan jika peralihan kuasa dianjakkan sehingga November iaitu selepas Sidang Apec, ini bermakna Tun Mahathir akan memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun setengah dan Anwar juga selama dua tahun setengah.
Tempoh itu juga sebenarnya tidak sesuai kerana Perdana Menteri sementara memegang jawatan dalam jangka masa yang sama dengan Perdana Menteri yang sebenar.
Dalam hal ini, tempoh dua tahun untuk Tun Mahathir dan tiga tahun untuk Anwar adalah paling sesuai dan munasabah di mana Perdana Menteri sebenar mesti diberikan masa yang lebih lama daripada pendahulunya yang hanya bersifat sementara.
Maka, mahu tidak mahu, Mei ini Perdana Menteri sementara harus mengundurkan diri sebagaimana janji yang berulang kali dilafazkannya untuk Perdana Menteri sebenar mengambil alih tempatnya pula.
Dunia ini tidak menjadi sukar jika semua orang ingat dan berpegang kepada janji serta sedar, Tuhan sentiasa memerhati sebelum mengadili untuk suatu kehidupan yang abadi. (ShahbudinHusin 12/02/2020)