MASING MASING JUAL NAMA ORANG YANG TELAH MENINGGAL




Tidak cukup dengan Tuan Ibrahim Tuan Man yang “menjual” nama orang yang sudah meninggal dunia untuk mewajarkan kerjasama UMNO dan Pas, perkara yang sama rupa-rupanya berterusan lagi.
Tuan Ibrahim semalam berkata, kerjasama UMNO dan Pas adalah selaras dengan kehendak bekas Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
Entah di mana ia dikatakan selaras dengan kehendak Nik Aziz sukar pula untuk difahami kerana bekas Menteri Besar Kelantan itu diketahui memang kuat menentang sebarang usaha ke arah itu sepanjang hidupnya.
Malah beliau dilaporkan pernah berkata akan meludah muka orang yang berani membuat cadangan itu kepadanya.
Hari ini, yang lebih memeranjatkan, kedua-dua Presiden UMNO dan Pas iaitu Zahid Hamidi dan Hadi Awang tanpa segan-segan turut melakukan perkara yang sama.
Sama seperti Tuan Ibrahim, Hadi Awang juga “menjual” nama Tok Guru Nik Aziz untuk menghalalkan kerjasama ini.
Kata beliau, perkara kerjasama ini pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Pas ketika Tok Guru Nik Aziz masih hidup lagi.
Ya, mungkin pernah dibincangkan, tapi apakah benar Tok Guru Nik Aziz bersetuju dengannya?
Soalnya, oleh kerana Tok Guru NIk Aziz sudah tiada, siapakah yang boleh mengesahkan perkara itu?
Kenapa hanya hari ini perkara itu dibangkitkan?
Kenapa semasa Tok Guru Nik Aziz masih hidup, ia tidak pernah diperkatakan?
Berbeza dengan Tuan Ibrahim dan Hadi Awang yang “menjual” nama Tok Guru Nik Aziz, Zahid Hamidi sebaliknya “menjual” nama Haron Din pula.
Kononnya, kata Zahid, Haron Din pernah berkata suatu ketika dahulu bahawa beliau mahu melihat kerjasama UMNO dan Pas ini menjadi kenyataan.
Sekali lagi, oleh kerana Haron Din sudah meninggal dunia, siapakah yang boleh mengesahkan kata-kata Zahid Hamidi itu?
Yang menjadi kemusykilan di sini, kenapa semua orang nampaknya begitu ghairah mahu “menjual” dan memperguna nama orang yang sudah meninggal dunia untuk perkara semasa serta untuk kepentingan mereka?
Apakah nama orang yang masih hidup, termasuk nama Zahid Hamidi, Hadi Awang dan Tuan Ibrahim sudah tidak laku untuk “dijual” bagi meyakinkan penyokong kedua-dua parti tentang kerjasama ini? (Shahbudindotcom 14/09/2019)


No comments: