Melangkaui tempoh setahun pentadbiran di Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan begitu banyak reformasi institusi serta membawa pelbagai dasar yang baik demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Pencapaian kerajaan PH dalam tempoh tersebut adalah membanggakan. Ini kerana bukan mudah untuk melaksanakan dasar dan reformasi yang menyeluruh dalam keadaan terpaksa mewarisi hutang yang besar dan kebusukan rasuah serta penyelewengan yang ditinggalkan pentadbiran UMNO terdahulu.
Namun, tekad kerajaan PH dalam membantu rakyat sering diperlekehkan pemimpin dan pengikut UMNO yang ketandusan idea dan visi. Mereka saban hari mengkritik kerajaan itu dan ini, tanpa melontarkan pandangan yang bernas demi pembangunan rakyat.
Jerkahan penyokong UMNO terhadap kerajaan PH hanya kerana mereka kini kehilangan kuasa dan peluang untuk terus menjarah hasil kekayaan negara. Jika UMNO terus berkuasa tidak mustahil 1MDB dan institusi kerajaan yang lain akan terus digunakan Najib Razak untuk kepentingan peribadi dan juak-juaknya.
Seperti didedahkan di mahkamah baru-baru ini, Najib telah membelanjakan RM606.51 juta untuk tempoh tiga tahun. RM600 juta saudara dan saudari bukanlah jumlah kecil, kurang RM400 juta lagi untuk genap RM1 bilion. Kita, golongan terbanyak yang menaiki kenderaan yang terikat dengan hutang bank pun masih bergelut untuk mendapatkan gaji bulanan, apatah lagi untuk membalanjakan ratusan jutaan ringgit dalam tempoh tiga tahun, tak terjangkau dek akal. Ini adalah orang yang sama diangkat Barisan Nasional sebagai penasihat mereka.
Kerana kentandusan idea dan visi untuk membangunkan rakyat terbanyak – ditambah pula kegagalan untuk menutup kebusukan rasuah pemimpin tertinggi mereka – UMNO yang meminggirkan “pemimpin-pemimpin progresif” seperti Khairy Jamaluddin, kembali menggunakan naratif perkauman dan mengulang-ulang nostalgia tentang UMNO sebelum merdeka.
Tiada apa yang ditawarkan UMNO, tiada rancangan untuk rakyat, yang ada hanya slogan dan fitnah. Pemimpin UMNO saban hari memomokkan DAP kerana mereka sedar perjuangan DAP yang berdasarkan prinsip-prinsip kebebasan, peluang setara, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi, hak-hak asasi, dan berasaskan institusi demokrasi berparlimen selari dengan Perlembagaan Persekutuan akan menggugat naratif lapuk perkauman UMNO.
Rakyat semakin hari semakin sedar akan permainan perkauman UMNO. Apa yang rakyat mahukan bukanlah ratib “Ini semua salah DAP”, tetapi idea dan visi yang jelas, terangkum serta jitu berkenaan dasar yang menyentuh golongan terbanyak.
Rakyat semakin hari semakin sedar bahawa kerajaan PH telah dan sedang berusaha demi kepentingan rakyat terbanyak dengan pelaksanaan pelbagai dasar dan reformasi pentadbiran bagi memastikan rasuah tidak berleluasa seperti yang berlaku ketika pentadbiran Najib Razak terdahulu.
Kerajaan PH menggubal dan melaksanakan dasar afirmatif bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan isi rumah berpendapatan terendah (B40). Antaranya, inisiatif Skim mySalam yang diperkenalkan Kementerian Kewangan bagi membantu golongan tersebut mendapat bantuan kewangan berjumlah RM8,000 sekiranya didapati menghidapi salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.
Manakala di bandar pula, kerajaan PH menerusi Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50. Inisiatif ini memberikan penjimatan yang besar kepada pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, banyak lagi dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan PH bagi membantu golongan miskin dan sederhana mengecapi taraf kehidupuan yang lebih baik. Semua ini membuktikan tekad kerajaan PH yang sentiasa memahami denyut nadi serta suara hati rakyat terbanyak. Sementara UMNO dan kini bersama pengikut barunya, PAS semakin gembira bersama, bergayut pada ranting nostalgia dan terbuai dengan naratif perkauman dan keagamaan ciptaan mereka.