ULASAN MENARIK UNTUK DIBACA ; Gabungan boleh menang, terbina atas kekuatan lapangan pertengahan





Politik identiti, terutamanya melibatkan kaum dan agama, adalah suatu daya yang kuat, sepertimana yang dapat kita lihat dalam fenomena Trump di Amerika Syarikat; dan juga di Malaysia, sebagaimana yang diketahui umum. Adakah Pakatan Harapan mampu menang dalam pilihan raya akan datang, dengan berhadapan gabungan PAS-Umno yang menunggang rasa tidak percaya orang Melayu terhadap Pakatan Harapan, selain terhakisnya kepercayaan dan sokongan warga bukan-Melayu?

Pada saat-saat yang baik, terutamanya ketika ekonomi rancak berkembang, Pakatan Harapan berada di kedudukan tengah yang paling baik untuk memenangi sokongan warga Melayu dan bukan-Melayu. Dalam keadaan itu, gabungan ‘centrist’ akan memenangi golongan pertengahan kerana parti-parti pembangkang yang berasaskan kaum akan terasing di tepian. Dalam keadaan ekonomi yang buruk, sebaliknya pula yang terjadi.

Satu cabaran besar yang harus ditempuhi Pakatan Harapan ialah media massa. Walaupun setiap saluran media mengakui ia merupakan media nasional, kebanyakannya adalah berasaskan etnik. Ada antaranya yang tidak kisah meniup api keresahan perkauman demi mendapatkan untung mudah, atau kerana agenda tersembunyi untuk melihat berakhirnya pentadbiran PH dalam masa satu penggal sahaja.

Di tengah dominasi media berasas etnik, kelihatan juga kurangnya wartawan yang dilatih secara profesional untuk membuat liputan wacana polisi awam secara lebih mendalam, melampaui sudut pandang etnik.

Kita memerlukan ‘media baharu’ yang membincangkan polisi awam bukan dari sudut pandang perkauman, tetapi dari sudut pandang warga Malaysia. Bahasa tidak menjadi masalah, akhbar tersebut boleh jadi dalam bahasa Tamil atau Iban tetapi ia mengambil sudut pandang nasional, ketimbang menggunakan kantan perkauman sempit.

Lapangan pertengahan

Pertambahan sehingga 7.9 juta pemilih baharu di Malaysia menjelang 2023 kepada senarai asal 14.9 juta pengundi berdaftar pada tahun 2018 membuka lebih banyak peluang kepada Pakatan Harapan untuk membina sebuah gabungan boleh menang di lapangan pertengahan.

Kita seharusnya memiliki wawasan yang jauh melampaui identiti Melayu atau bukan-Melayu. Kita memerlukan sebuah wawasan ala Wawasan 2020 untuk menyatupadukan semua pihak. Ia telah berjaya pada sekitar 90-an atas sebab sifatnya yang merangkum dan mendakapi semua, selain juga ekoran kerancakan ekonomi melampaui impian ramai dalam tempoh yang begitu singkat antara 1989 dan 1994 setelah melalui saat-saat sukar pada 1985-1988. Ekonomi kemudiannya terlebih aktif dan gelembungnya meletus ekoran Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997.

Bagi mana-mana perkumpulan politik yang mahu menang dari lapangan tengah, kita harus dengan tulus hati mengiktiraf bahawa rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Majoriti rakyat Malaysia, meski datang daripada latar budaya yang berbeza, berkongsi aspirasi yang serupa.

Kita semua berharapkan pekerjaan yang baik dengan gaji yang berpadanan. Kita mahu perniagaan kita maju. Kita mahukan pendidikan yang baik untuk generasi akan datang. Manakala generasi akan datang pula mahukan kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang.

Kita juga bercita-cita besar untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik di bandar dan desa; serta di rumah milik kita sendiri, dengan pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Kita ingin merasa selamat dalam semua semua segi, termasuklah merasa bebas daripada segala jenayah dan peperangan, serta terhindar daripada sebarang kerosakan alam sekitar.

Pekerjaan dan gaji

Bagi Pakatan Harapan, kemenangan dalam pilihan raya akan datang bukan sekadar soal mengekalkan kuasa, tetapi soal melindungi demokrasi untuk rakyat Malaysia, daripada mereka yang beroleh keuntungan daripada sentimen kaum dan agama, serta para pelampau yang suka membesarkan hal-hal kecil.

Kerajaan mesti jauh terkedepan mengubah terma-terma perbahasan dasar secara besar-besaran secepat mungkin bagi penambahbaikan yang drastik.

Ini bererti kerajaan – menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha setiap kementerian dan penjawat awam senior – harus bekerjasama untuk menumpukan kepada usaha mencipta peluang pekerjaan yang membayar gaji setimpal untuk rakyat Malaysia. Gaji di Malaysia sudah membeku sepanjang dua dekad lampau, yang kini membawa kepada keresahan tentang tingginya kos sara hidup.

Gaji rakyat Malaysia tidak ditetapkan di Malaysia. Ia bahkan ditetapkan di Bangladesh dan Singapura. Apa maksud saya kata begini?

Kita mengimport beberapa juta buruh tidak terlatih dengan gaji rendah dari Bangladesh untuk bekerja di Malaysia, sementara setengah juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam bidang-bidang yang membayar gaji kurang SGD2,000 sebulan. Tidak termasuk rakyat Malaysia yang terus menetap di Australia dan New Zealand bekerja mengutip buah serta menjadi buruh binaan; tidak termasuk mereka yang bekerja secara haram di Seoul, Korea Selatan.

Ekonomi Bangladesh sedang berkembang pesat. Pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6 peratus, dan dividen demografi yang besar, akan tiba masanya tiada warga Bangladesh yang mahu bekerja sebagai buruh murah di Malaysia, mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi.

Malaysia sebagai sebuah masyarakat dan negara perlu berkira-kira untuk menyusun sektor kerja bawahan yang menuntut bekalan buruh yang ramai untuk melabur di Bangladesh, sepertimana China kini memindahkan kesemua sektor bawahannya ke luar negara.

Mereka yang menerima gaji SGD2,000 sebulan pula tidak berniat untuk menyamakan kedudukan gaji mereka. Jika mereka dibayar dua-pertiga gaji yang mereka terima di Singapura, saya pasti dua-pertiga daripada mereka akan pulang bekerja di tanah air dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Demi memajukan ekonomi negara, kita perlu mencipta pekerjaan mahir dan separa mahir yang membayar gaji RM4,000 ke atas. Pun begitu saya mesti menyebut bahawa saya tidak mencadangkan kenaikan gaji secara dibuat-buat.

Apa yang saya cadangkan ialah dengan menggurangkan bekalan buruh asing tidak mahir sambil membantu industri secara besar-besar untuk mengautomasi dan menggunakan teknologi Revolusi Industri 4.0, kita boleh menukarkan tiga pekerjaan yang membayar RM1,500 kepada seorang warga Bangladesh menjadi satu pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang membayar RM4,000 ke atas. Dengan cara demikian, kedua-dua industri dan negara dapat beroleh manfaat daripada kemajuan produktiviti yang tinggi di setiap peringkat.

Buruh asing

Untuk buruh asing tidak terlatih, kita memerlukan suatu rancangan 10 tahun dengan aturan yang jelas. Kebanyakan negara selalunya sangat cerewet dalam membenarkan buruh asing tidak terlatih dalam bidang perkhidmatan mereka.

Seboleh mungkin, peluang kerja-kerja perkhidmatan wajar diisi oleh warga Malaysia. 

Pembuatan boleh dijalankan secara automasi, sekiranya diberi insentif yang betul. Pembinaan juga boleh menjadi sektor yang menyediakan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia dengan bertukar kepada sistem pembinaan perindustrian. Juga, dengan insentif yang tepat. Pertanian dan perladangan hadir di akhir urutan, kerana hakikatnya sektor ini adalah yang paling sukar untuk diautomasi.

Persoalan aspirasi bersama yang lain, seperti mobiliti sosial, kualiti kehidupan dan keselamatan dalam tulisan akan datang.

Cukup sekadar saya katakan bahawa untuk melawan politik identiti, kita harus mempunyai identiti Malaysia yang lebih kuat, yang menyatupadukan kita semua untuk melihat seluruh rakyat Malaysia sebenarnya berkongsi aspirasi sejagat, yang boleh direalisasikan sebuah kerajaan aktivis dengan dasar-dasar yang masuk akal dari segi ekonomi dan politik sekaligus.

Kalau ini boleh dilakukan, kita mempunyai sebuah gabungan yang kuat dan kukuh di lapangan pertengahan, sesuatu yang mahu dicapai oleh ‘Kemakmuran Bersama 2030’. 

Artikel ini merupakan terjemahan kolum Bahasa Inggeris Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong. (https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2019/08/510070/winning-coalition-built-strength-middle-ground) 



No comments: