KALAU KERAJAAN GAGAL TUTUP LYNAS, SATU PENGHINAAN KEPADA PEJUANG -PEJUANG ANTINYA

OLEH : WAN FAUDZIN NS


Semua tahu dan mesti terima hakikat bahawa sewaktu kita menjadi Pembangkang, kita telah menjalankan berbagai usaha agar kilang Lynas tidak dibenarkan beroperasi di Malaysia kerana mudharatnya lebih banyak dari kebaikan untuk rakyat. Hakikat yang patut kita akui juga bahawa sewaktu kita melaksanakan kempen tersebut, Tun M dan beberapa Menteri yang sekarang ini cuba untuk mempertahankan Lynas, waktu itu mereka berada di dalam Umno dan masih bermazhab Umno.

Fakta yang tidak boleh menipu rakyat adalah kerajaan terdahulu bertanggungjawab meluluskan lesen operasi Lynas dengan beberapa perjanjian termasuk tanpa cukai selama 12 tahun. Kerajaan negeri Pahang di bawah Umno/Bn turut memberikan kerjasama dengan menyediakan tanah untuk didirikan kilang ini di Gebeng. Lesen dikeluarkan oleh kerajaan Pusat waktu itu (Umno/Bn) dan tanah disediakan oleh kerajaan negeri Pahang (Umno/Bn).

Seperti juga isu di Pasir Gudang, kilang-kilang haram yang merata tumbuh di situ wujud sejak zaman Umno/Bn mentadbir Johor, namun kesannya dirasai sekarang apabila Johor ditadbir oleh PH. Mahu tidak mahu, atas tanggungjawab kepada rakyat, kerajaan negeri sekarang wajib gempur kilang-kilang haram ini. Tugas ini turut dibantu oleh kerajaan Pusat kerana isu pencemaran di Pasir Gudang ini telah menjadi isu besar melibatkan campurtangan kerajaan Pusat.

Berbeza dengan Lynas. Kilang ini bukan kilang haram. Lynas beroperasi atas lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat waktu itu (Umno/Bn). Apabila PH mengambil alih Putrajaya, tidak semudah itu untuk menghentikan operasi kilang berkenaan *kecuali* dengan kesedaran politik yang jitu. PH sebagai parti politik yang memerintah mesti ada kesedaran dan tanggungjawab ini kerana janji kita untuk menghalang Lynas dari beroperasi adalah di antara janji kita kepada rakyat khususnya di Kuantan, meskipun tidak tercatat di dalam manifesto PH pada PRU14 yang lalu.

Saya telah membaca kenyataan MP Kuantan, YB Puan Hajjah Fuziah Salleh dari Tanah Suci Mekah yang telah menerangkan tentang panjang lebar tentang isu ini agar Kabinet lebih waras dan bertimbangrasa di dalam mengkaji semula kewujudan Kilang Lynas ini. Saya 'salute' kenyataan berani MP Kuantan, walaupun berstatus Timbalan Menteri yang dilantik oleh Tun M, namun beliau konsisten dengan perjuangannya. Begitu juga, kesemua Adun PH di negeri Pahang konsisten menolak kewujudan Lynas di negeri ini. Begitu kuat dan teguh pendirian kami di Pahang ini.

Saya tidak pelik sekiranya Tun M atau beberapa menteri terutamanya dari Bersatu yang tidak peka dan prihatin dengan isu Lynas ini kerana mereka tidak berada bersama kita sewaktu kita berjuang menentang Lynas sehingga sampai ke tahap sukarelawan kita berjalan kaki dari Kuantan ke Parlimen hanya untuk menyatakan bahawa Kuantan khususnya dan negara ini amnya tidak perlu mengambil risiko hanya untuk memberi kesenangan kepada pihak lain. Risikonya mungkin bukan sekarang. Kejadian di Pasir Gudang pun mengambil masa puluhan tahun untuk kita terima bahananya.

Sehubungan itu, kami merayu kepada pimpinan PH terutamanya yang bersama kami dahulu bersusah payah menentang Lynas agar jangan sia-siakan peluh keringat, darah dan sakit yang ditanggung oleh para sukarelawan penentang Lynas terdahulu. Kesakitan yang mereka tanggung dahulu tidak pernah mereka tuntut dengan wang ringgit atau habuan jawatan setelah kita menjadi kerajaan. Mereka hanya mahu kerajaan sekarang kenang mereka dan hadiahkan kepada mereka kemenangan.

Jangan istihar kemenangan kerajaan dahulu yang berjaya wujudkan kilang Lynas tetapi kita persendakan perjuangan sukarelawan yang dulu kita sambut mereka sebagai wira di Parlimen.

Terbaru, mereka mahu YB Fuziah buktikan kebenaran apa yang beliau tegaskan selama ini. Bukti apa lagi? Kita tahu, YB Fuziah sekarang berada di Tanah Suci. Mungkin bukan masanya untuk beliau melayani permintaan yang sama seperti kerajaan Umno/Bn pernah minta dahulu. Beliau hanya mampu berdoa di hadapan Baitullah agar rakyat terutamanya rakyat Kuantan dijauhi malapetaka. Apa pula bukti di pihak kamu yang menyatakan Lynas itu satu projek yang tiada risiko jangkamasa panjang dan dapat beri keuntungan besar kepada rakyat? Boleh beritahu kami ?

Seandainya Tun M sebagai PM yang kita sama-sama angkat tidak mampu berbuat apa-apa, ianya amat malang bagi kita dan satu penghinaan buat usaha kita selana ini. Namun, ianya tidak akan terhenti begitu saja dan tetap akan diperjuangkan walaupun ketika itu Anwar menjadi PM.

HENTIKAN LYNAS, TOLAK PENCEMARAN

WFAUZDIN NS

No comments: