Umno buat peraturan, Umno sendiri langgar – Exco Perak
Umno Perak melanggar peraturan dan syarat mengenai kawalan mengadakan ceramah dan tazkirah di masjid, yang mereka perkenalkan semasa Barisan Nasional jadi kerajaan, kata exco kanan negeri Asmuni Awi.
Exco agama dan pendidikan Islam itu berkata tindakan pemimpin Umno mengadakan program politik di masjid adalah sesuatu yang sangat dikesali.
Beliau merujuk antaranya Majlis Ihya Ramadan anjuran Pemuda Umno Perak yang diadakan di Masjid Al-Khairiah di Kampung Banjar, Teluk Intan, yang menampilkan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tazkirah perlulah ada tauliah dan ceramah perlulah mendapat kebenaran pegawai tadbir agama (PTA) dan bukannya AJK (ahli jawatankuasa) masjid .
“Peraturan ini dibuat waktu zaman Umno memerintah lagi pada 2013. Ia mengenai kawalan mengadakan ceramah dan tazkirah.
“Mereka bukan tidak tahu semua ini tapi mereka sendiri yang langgar,” kata Asmuni, yang juga pengerusi Amanah Perak kepada The Malaysian Insight.
Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan enam pemimpin parti politik negeri untuk menghadap susulan dakwaan segelintir pihak menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti parti.
Pada pertemuan di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Sultan Nazri bertitah memberi amaran kepada pemimpin poliitk agar tidak menyalah guna masjid menjadikannya tempat ceramah politik, kata sumber.
Istana Perak dijangka mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung titah itu hari ini, kata Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini seperti dipetik Bernama semalam.
Empat pemimpin Pakatan Harapan hadir pada pertemuan tersebut iaitu Asmuni mewakil Amanah, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak; Pengerusi PKR negeri , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham.
Dua wakil pembangkang juga hadir iaitu Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Saarani Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Selain program di Teluk Intan, Wanita Umno dan Muslimat PAS Lumut juga baru-baru ini mengadakan program bersama di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar.
Asmuni menambah pihaknya juga dapat maklumat ada mesyuarat Wanita Umno diadakan di Masjid Kampung Degong, di Langkap.
Beliau turut meminta pembangkang agar tidak mengulangi perkara tersebut bagi mengelakkan kegelisahan masyarakat Islam setempat.
“Bukan semua orang datang ke masjid menyertai parti politik. Ramai yang datang untuk mendengar tazkirah. Ini ada juga penceramah, ulas pasal kitab 10 minit, selebihnya cakap pasal penyatuan ummah politik, selepas itu mulalah keluar isu Islam terancam.
“Saya tiada masalah dan terbuka untuk wakil rakyat pembangkang turun ke masjid untuk merasmikan majlis. Tetapi perlulah ikut saluran yang betul dan bukannya berbicara mengenai politik,” katanya lagi.
Menjawab mengenai program Amanah, Asmuni berkata partinya tidak menyalah guna kuasa dengan menggunakan masjid selain daripada program kerajaan.
“Saya juga sudah beri arahan jangan lakukan (program politik di masjid) kerana saya mahu orang yang datang masjid selesa.
“Macam saya kalau ke masjid atas kapasiti sebagai Adun mahupun Exco agama. Kita berucap atas kapasiti kerajaan dan bukan pun ceramah politik,” katanya.
The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan reaksi Saarani, sementara Asyraf Wajdi difahamkan sedang mengerjakan umrah di Mekah.