Sg Kandis: BN tidak lagi semewah dulu
Dalam bilik mesyuarat yang pengap di sebuah lot kedai di pinggir Shah Alam, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan sidang medianya.
Wartawan dan pemimpin politik yang berada di situ dilihat menyeka peluh di dahi masing-masing akibat sistem penyaman udara yang tidak begitu memuaskan.
Lebih merimaskan, bunyi enjin motosikal dari bengkel di sebelah kedai mengganggu ucapan Mohamad.
Keadaan bilik mesyuarat Umno bahagian Kota Raja itu jauh berbeza berbanding lokasi-lokasi mewah yang biasa digunakan BN untuk mengumumkan calon ketika mereka masih menjadi kerajaan.
Jika sebelum ini pengumuman seumpama itu akan dikuti kempen berskala besar di mana BN akan mengedarkan habuan serta menjanjikan pelbagai peruntukan untuk pembangunan, kini semuanya tiada lagi.
BN kini tidak lagi berupaya untuk membuat janji-janji seperti itu dan lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar akaun Umno telah dibekukan akibat siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.
Ditanya sama ada kekangan kewangan akan menjadi penghalang bagi Umno dalam kempen pilihan raya kecil ini, Mohamad menolak kebimbangan tersebut.
“Kami berkempen dari mulut ke mulut, bukan dengan wang,” katanya sambil tersenyum dan disambut ketawa oleh pemimpin BN di situ.
“Kami akan berkempen dengan meyakinkan (pengundi) dengan pergi dari rumah ke rumah,” katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam (Gambar dua dari kanan), berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang untuk membantah dasar kerajaan Pakatan Harapan serta memperkuatkan suara pembangkang dalam DUN Selangor.
Mesej seumpama itu adalah mesej serupa disampaikan PKR, DAP dan PAS pada PRU 2008 apabila mereka menyeru rakyat agar menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
Kini segala-galanya berubah. Jika dahulu BN berkuasa di Selangor, pada masa ini, PKR mengetuai kerajaan negeri.
Dalam satu majlis beberapa jam sebelum Mohamad bercakap dalam sidang media itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyerahkan bantuan bernilai RM713,400 kepada kira-kira 180 orang penduduk Sungai Kandis dan kawasan-kawasan berdekatan seperti Kota Raja.
Bantuan itu termasuk RM376,000 dalam bentuk pinjaman mikro kredit di bawah Skim Hijrah Selangor.
Mungkin menyedari bantuan berkenaan dibuat ketika pilihan raya kecil, Amirudin berulang kali menegaskan bahawa kerajaan Selangor tidak hanya memberikan bantuan kepada penduduk semata-mata.
Beliau juga menyebut mengenai biasiswa, pinjaman mikro, dan bengkel latihan kemahiran yang merupakan antara inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Selain itu Amiruddin juga menyampaikan mesej secara halus mengenai peralihan kuasa di Putrajaya apabila memberitahu bahawa Selangor kini boleh mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang kini dikawal Pakatan Harapan.
Ini berbeza sebelum PRU pada 9 Mei, apabila kempen di Selangor menyaksikan HARAPAN dan BN masing-masing menggunakan sumber daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
Bagaimanapun, Amiruddin dilihat lebih berhati-hati. Sepanjang ucapannya, beliau tidak meminta penduduk yang menerima bantuan daripada kerajaan negeri agar mengundi PKR pada pilihan raya kecil itu.
Calon PKR Sungai Kandis, Zawawi Mughni yang hadir juga tidak berada di pentas untuk menonjolkan dirinya sebagai calon seperti mana dilakukan BN pada masa lalu.
Zawawi hanya berada di sebelah Amirudin ketika sesi bergambar pada akhir acara itu dan pada sidang media selepasnya.
Sama ada Amirudin dan HARAPAN akan menggunakan jentera kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan semasa tempoh berkempen nanti masih belum dapat dipastikan.
Dengan BN tidak lagi dapat menggunakan sumber kerajaan persekutuan, ia memberi peluang kepada HARAPAN untuk menunjukkan kempen yang adil seperti dituntut mereka sejak beberapa dekad lalu.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan ini.
Pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 4 Ogos dan hari penamaan calon akan diadakan esok.
Pilihan raya kecil itu dijangka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PKR.