Faktor Muhyiddin penentu pertempuran Bersatu di Johor
“Faktor Muhyiddin” antara sebab mengapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diperuntukkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Johor, kata pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti itu Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff.
“Seperti yang anda sedia maklum Johor adalah (salah satu) negeri utama bagi BERSATU.
“Maka secara logiknya kami mengambil peranan ketua. Sama seperti PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
“Selain itu kita juga perlu ingat faktor Muhyiddin,” katanya (gambar), membangkitkan pengaruh presiden BERSATU itu di Johor.
Muhyiddin pernah menjadi menteri besar negeri itu selama sembilan tahun (1986-1995) dan anggota parlimen Pagoh selama tujuh penggal.
Namun, kata Rais, Muhyiddin tidak pernah menuntut apa-apa jawatan dan lebih cenderung untuk melihat ‘gambaran lebih besar’,” katanya.
Beliau yang juga anggota majlis pimpinan tertinggi BERSATU mengulas peruntukan 18 daripada 56 kerusi DUN Johor yang diberikan kepada parti itu.
Sebelum ini, ada spekulasi mengatakan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan diberikan lebih banyak kerusi DUN di negeri itu, selepas pimpinan negeri tidak berpuas hati kerana hanya diberikan dua kerusi Parlimen.
Rais juga berkata Muhyiddin kini sibuk berkerja di belakang tabir sebagai pengerusi Jawatankuasa pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN).
Ditanya sama ada langkah Muhyiddin tidak menuntut apa-apa jawatan eksekutif di peringkat pusat menandakan beliau mahu kembali menjadi menteri besar Johor, Rais berkata: “Semua itu akan dibincangkan apabila kita menang, bukan ‘jika ‘ kita menang.”
Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan sumber mengesahkan rundingan kerusi DUN Johor sudah selesai 18 Januari lalu – dengan BERSATU bertanding di 18 kerusi, DAP (14), PKR dan Amanah pula 12 kerusi.
Namun, Rais berkata pengumuman rasmi berhubung perkara itu hanya akan dibuat Majlis Presiden HARAPAN.
Beliau berkata, rundingan mengambil kira kekuatan setiap parti komponen dan kemampuan mereka untuk menang.
“Setiap parti akan mengetuai negeri tertentu. BERSATU mengetuai Johor, Perak, Perlis dan Kedah. Maka tidak pelik jika kami bertanding di paling banyak kerusi,” katanya lagi.
Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan sbelum ini berkata, kemenangan di Johor akan menjadi faktor penentu kepada BERSATU kerana tanpa mentadbir negeri, nasib parti itu mungkin akan berakhir seperti sebuah lagi partis serpihan Umno iaitu Semangat 46.